Saturday, August 1, 2020

Surat Tengku Kejuruan Japura Langkat kepada Francis Light (MS 40320/11, f.137) berkaitan perdagangan bijih timah dan pembelian senjata (21 Februari 1788)

Ya Qadiya al-Hajat

Alhamdulillah Rab al-‘alamin wa al-‘aqibat li al-muttaqin wa al-salat wa al-salam ‘ala rasulik sayyidina Muhamad sayyid al-anbiya’ wa al-mursalin wa ‘ala alihi wa ashabih ajma’in maka diiringi dengan beberapa hormat mulia iaitu daripada Tengku Kejuruan Japura barang diwasilkan Tuhan habib al-Rahim apalah kiranya kepada syaudara  beta Kapitan Seri Gurnador yang bermakam di dalam bandar Pulau Pinang dan lagi yang beroleh darjat dan sihat daripada Tuhan kita Hannan al-Mannan serta pangkat martabat kebesaran dan kemuliaan dan kekayaan selagi ada cakerawala matahari dan bulan amin ya rab al-‘alamin wa ya khair al-nasirin wa ba’d 

kemudian dari itu barang maklum kiranya syaudara  beta akan hal yang seperti kata di dalam surat syaudara  beta sudahlah sampai kepada beta dibawalah oleh Nakhoda Barul  serta dengan sakhlat  sekayu dan permadani dua kayu dan kain sekayu akan sekarang pun Nakhoda Barul juga beta suruh mendapatkan syaudara beta serta dengan dia tiga buah perahu yang seperti pesan syaudara  beta macam dagangan itu adalah dibawa oleh Nakhoda Barul  sedikit2 sejenis jikalau berkenan kepada syaudara  beta seperti macam dagangan itu hendaklah syaudara  beta beri belanja mana sekadar mudahnya adapun akan bijih timah itu jikalau berkenan kepada syaudara  beta hendaklah syaudara  beta berikan dengan pawang mengambil bijih itu suatu lagi akan hal perahu yang tiga buah itu pun saudara betalah tahu akan baik dan jahatnya dan daripada sukar mudahnya dan daripada jual belinya melainkan syaudara betalah yang beta harapkan seperkara lagi jikalau ada mudahnya kepada syaudara  beta rentaka dengan pemuras serta dengan peluru dan ubat bedil barang sedikit akan utang  beta mana yang berkenan harganya kepada syaudara  beta biarlah beta kirimkan kepada Nakhoda Barul itulah suatupun tiada alamat al-hayat hanya budak ada seorang tamat tamat

No comments:

Post a Comment