Friday, December 27, 2019

Surat Penggawa Telebong kepada Francis Light (MS40320/5, folio 66) berkaitan papan dan tiang untuk dihantar ke Pulau PInang (Jumaat, 11 Rabiul Awal 1202 / 21 Disember 1787)

Al-Mustahaqqah

Surat kasih sayang serta tulus ikhlas daripada beta Penggawa yang bermaqam di Pulau Telebong yang kecil sampai kepada sahabat beta tuan Gurnador yang memerintahkan bandar Pulau Pinang yang amat makmur serta gah kepujian pada segala jajahan negeri dibawa[h] angin dan atas angin pandai memerintahkan sekalian kerja yang besar seni serta membela membaiki hati segala handai taulan sejak keadaan air embun pada ketika dinihari demikianlah adanya maka sangatlah dipuji oleh segala dagang senteri segenap negeri mengatakan murah adil dalam bandar Pulau Pinang itu tiadalah ia merasai duka nestapa senantiasa dengan kesukaan duduk dalam Pulau Pinang itu 


maka kemudian dari itu maka niat wartakan akan surat tuan Gurnador dibawa Kapitan Rafsan dan Kapitan Lun itu maka beta sambuti dengan beberapa kemuliaan serta beta tatapi janik shatarnya fahamlah beta sekalian yang dalamnya maka beta kerjakanlah dengan sekalian anggota beta maka sudah siap termuat papan dan tiang dalam kapal kedua itu banyaknya seratus lima puluh lima maka Kapitan kedua ini bertanya harganya hendak dibayar maka tiada mau beta menerima dia kerana sahaja beta kerjakan kerja kompeni Gurnador itu bukannya beta hendak jadikan perniagaan hingga beta kehendaki kasih kesian kompeni Gurnador akan beta orang kecil ini demikianlah cit beta selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan ini maka ini cit beta hendak menyuruh ke Langkabadi maka beta siapkan suatu perahu serta teman yang pakat maka dagangannya tiada pada beta maka beta pinta tolong kepada Gurnador kain itam celupan dua kodi dan gebar serasa dua kodi dan tembakau besar enam jipam sebagai lagi jika ada mudah mudahan rial barang empat ratus beta pinta tolong boleh hendak buat bekal pergi ke Langkabadi itu dan lagi beta pinta surat pas daripada Gurnador nyatakan segala orang putih dan dinomor yang duduk di Pulau Langkabadi itu mengatakan perahu penyuruh Gurnador supaya ditolong segala hal sakit sukar teman2 itu pergi itu telah tertinggilah harap beta akan kasih tuan Gurnador daripada gunung yang bernama jabal qaf itu demikianlah ada cit beta ini maka perbuat surat ini hari Jumaat sebelas hari timbul bulan Rabiul Awal tamat 12002 tahun tamat sebermula sembilan keping pula dibawa orang kemudian daripada surat ini tamat 

No comments:

Post a Comment