Sunday, May 19, 2019

Surat Dato Hasan Mira Lebai kepada Francis Light (MS 40320/6, f. 93) berkaitan masalah perniagaan di Pulau Pinang

Ya ‘Aziz al-Rahim 

Hamba Dato` Hasan Mira Lebai maklumkan sembah ke bawah kadam Dato` Tuan Gurnador Raja Pulau Pinang yang amat mulia wa ba’d dari itu 


ahwal adalah hamba Dato` ini duduk di Terengganu dengan rumahtangga kampung laman dan anak bini berniaga mencari makan maka tatkala Syaudagar Priya Tambi hendak mari ke Pulau Pinang ini dipanggilnya hamba Dato` pindah dengan anak bini semuanya bersama2 kata Syaudagar Priya Tambi mudah mencari makan dalam negeri Pulau Pinang boleh duduk dengan senangnya maka hamba Dato` pun sangatlah suka lagipun sangat masyhur nama kadam Dato` sebelah timur mengasihi segala dagang yang miskin maka jadilah hamba Dato` pindah mari bersama2 Syaudagar Priya Tambi dengan anak bini semuanya kecil besar sepuluh orang maka niat hati hamba Dato` hendak duduk dalam Pulau Pinang menjadi hamba anak bini semuanya pada kadam Dato` tempat berteduh maka sekarangpun duduk hamba Dato` apa ini tiada tentu tempat lagi disuruh  Syaudagar Priya Tambi duduk dalam kampung Syaudagar Mirangkandu maka hamba Dato` pinta tolong modal pada Syaudagar Priya Tambi katanya nanti datang kapal Keling hamba tolong beri modal dalam itu datang orang Melaka  ini buat dakwa di atas hamba Dato` dengan aniaya sahaja kerana perintah tapak tangan hamba Dato` yang digadai Syeikh Sab itu sudah selesai dibayar Syeikh Sab ambil tapak tangan besar itu pergi kira2 dulapan belas tahun sudah lamanya sekali2 suatu duanya pun tiada hamba Dato` ambil kepada orang Melaka itu dalam ini mana tilik kasihan hukum Dato` hamba Dato` terima ahwal inilah hamba Dato` maklum izzah saadah bertambah2 ala al-dawam tamat

No comments:

Post a Comment