Saturday, May 11, 2019

Surat Encik Abdul Rahim kepada Francis Light (MS 40320/6, f. 79) berkaitan hamba yang lari 29 April 1792

Ya Qadiya al-Hajat 

Ini surat tulus dan ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada Encik Abdul Rahim bin Al-Haj Abd yang duduk di dalam negeri Melaka barang disampaikan Tuan sarwa sekalian alam apa kiranya kepada Dato’ Raja Gurnador Mister Lait  yang memerintahkan negeri Pulau Pinang wa ba’du 


daripada itu sahaya maklumkan kepada Dato’ Raja akan hal budak sahaya lari dari Melaka dan banyaknya sembilan orang semuanya budak2 itu laki2 dan dua orang dari Kuala Kurau pergi berjual ikan ke Pulau Pinang maka sudah ditangkap budak itu serta dikurungkan budak itu maka lalu Dato Raja kirimkan ke Melaka pada tangan sahaya maka budak itu pun sudahlah sampai kepada sahaya dengan selamat sejahteranya dan ada pun rantai yang dipakaikan pada budak itu sudah sahaya pulangkan kepada kapitan kici itu jua syahadan lagi jikalau ada kesian  dan belas Dato’ kepada sahaya akan hal budak yang tinggal lagi di Kuala Kurau itu sahaya minta tolong banyak2 kepada Dato’ bicarakan tamat kemudian daripada itu suatu pun tiada layak dipesertakan pada akhir syatar  ini daripada jenis yang sedikit hal keadaannya hanyalah halwa menggustan dua takar dan halwa kembang2 setakar tamat al-kalam tersurat kepada enam haribulan Ramadhan yaum al-Ahad sanah 1206

No comments:

Post a Comment