Qawluhu al-Haqq
Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta suci hati yang tiada berhingga dan bermasa siang dan malam iaitu daripada Tengku Tengah barang disampaikan oleh Tuhan sarwa sekalian alam apa kiranya kepada sahabat kita Gurnador yang beroleh kebesaran dan kemuliaan yang memerintahkan bandar kompeni di dalam daerah bandar Pulau Pinang dan yang mengasih segala dagang qarib dan ba’id maka adalah diumpamakan sepohon kayu yang rampak di tengah padang dan renda daunnya serta harum baunya dengan dan buahnya maka bernaunglah sekalian burung di bawahnya pada ketika waktu tengah hari maka bertiuplah angin yang lembah lembut maka terhamburlah bauan yang amat semerbak dan lagi telah rasa buahnya maka mengucap syukurlah sekalian yang bernaung di bawahnya maka masyhurlah warta ihsannya kepada sekalian alam wa ba’du
kemudian dari itu ini sekeping kertas melayang dari Temiang ke Pulau Pinang akan hal orang Cina yang dari Pulau Pinang pergi mengambil teripang sudahlah dirompak oleh Panglima Aceh di Telaga Tujuh ditakdirkan Tuhan lagi ia ke Temiang maka hamba tahankan kerana banyak orang hendak menangkap maka hamba tahankan kerana banyak seterunya itulah maka hamba serah hantarkan ke Pulau Pinang kepada Dato` Gurnador sekarang pun mana ikhtiar Gurnador beberapa2 kali hendak juga diambil juga orang Cina itu oleh Panglima Aceh tidak juga hamba lepas jadilah hendak berperang sebab orang Cina sekarang pun barang maklum pada Dato` Gurnador kerana negeri sangatlah huru hara suatu pun tiada hanya belerang ada sedikit pinang sedikit yang membuat Nakhoda Po Belang jikalau ada kasih Dato` Gurnador akan belerang itu Dato` jualkan kiranya tamat al-kalam
No comments:
Post a Comment