Friday, November 2, 2018

Surat Saudagar Raja kepada Francis Light (MS 40320/6, f.16) berkaitan dagangan beras, padi, lembu, kambing, ayam, itik dan papan (21 Jamadil Awal)

Ya ‘Aziz 

Hamba Dato` Saudagar Raja merafakkan sembah maklumkan ke hadrat Dato` Gurnador Pulau Pinang yang mulia lagi masyhur murah hati pada pihak mengasihani pada segala miskin ‘ala al-dawam 


kemudian daripada itu hamba Dato` maklumkan ahwal surat hadrat Dato` beri mari pada saudara hamba Dato` Bapu itu telah sampailah pada hamba Dato` maka tersebut dalamnya hadrat Dato` suruh hamba Dato` beli beras padi serta lembu kambing ayam itik dan papan cina dan papan merbau suruh hantar pergi ke Pulau Pinang maka surat itu hamba Dato` bawa maklumkan pada ke bawah duli baginda Yang Dipertuan maka keluar titah barang kehendak hadrat Dato` disuruh hamba Dato` cahari hantarkan dengan segeranya maka hamba Dato` cahari papan cina tebal maka boleh seratus tujuh belas keping harganya pada seratus keping dua puluh rial itulah hamba Dato` beri pergi dahulu yang lagi itu hamba Dato` suruh cina gergajikan apakala sudah terhimpun hamba Dato` sembahkan beri pergi pada hadrat Dato` maka ayam itik lembu kambing padi beras itu di dalam hamba Dato` duduk himpun itu pun apakala sudah terhimpun hamba Dato` sembahkan beri pergi pada hadrat Dato` maka itulah ayam dulapan puluh ekor dan itik dulapan ekor dan telur ayam dua ratus hamba Dato` beri pergi dahulu pinta hadrat Dato` suruh terima ambil maka hadrat Dato` kehendaki papan merbau itu boleh hamba Dato` cahari tetapi lambat sedikit kerana mau  hamba Dato` pesan sama orang suruh kerjakan jika hadrat Dato` benar boleh hamba Dato` cahari beri pergi maka hamba Dato` sahaja hamba pada ke bawah duli baginda Yang Dipertuan demikian lagi teman pada hadrat Dato` barang kerja hadrat Dato` suruh atas tanggungan hamba Dato` kerjakan sebolehnya2 ahwal inilah hamba Dato` maklumkan perbuat surat pada selikur hari bulan Jamadil Awal tamat al-kalam

No comments:

Post a Comment