Al-Mustahaqqah
Surat tulus ikhlas berkasih kasihan yang tiada berkesudahan daripada perhamba Saudagar Raja sampai kepada Tuan Gurnador di kota Pulau Pinang yang arif bijaksana telah masyhur sampai ke mana mana dari atas angin dan ke bawah angin kedengaran bahana
kemudian dari itu ahwal akan surat kertas Tuan Gurnador serta opiun sepuluh peti dan garam dulapan koyan dibawa Kapitan Jaga2 itu telah sampailah pada perhamba terima ambil dengan ikhlas putih hati maka tersebut di dalam surat itu Tuan Gurnador suruh perhamba sembahkan pada ke bawah Duli Yang Dipertuan empat ribu rial hutang perhamba pada Kapitan Uskut maka pada kira perhamba tiada banyak hutang perhamba pada Kapitan Uskut itu maka dagangan barang yang perhamba ambil itu sudah perhamba bahagi beri pada segala orang suruh beli padi dan beras dan lembu dan barang2 itulah tengah perhamba duduk himpun disuruh hantar pergi maka baki lagi itu pun jika sudah terhimpun boleh perhamba serahkan pada Kapitan Jaga2 ini beri pergi pada Tuan Gurnador dan Kapitan Uskut serta diserupakan harganya dagangan perhamba ambil itu ditentukan bakinya atas perhamba ini disalin daftarnya serahkan pada Nakhoda Husna Marikan boleh dibawanya mari segera kerana perhamba hendak sembahkan daftar kira2 pada ke bawah Duli Yang Dipertuan perintah perniagaan perhamba sudah sampai tahun maka akan rial empat ribu Tuan Gurnador suruh perhamba sembahkan pada ke bawah Duli Yang Dipertuan itu pun perhamba himpunlah bawa persembahkan pohon ampun kurnia meterai titah beri pergi pada Tuan Gurnador maka sekarang sudah perhamba serahkan timah dua puluh bahara diterima Kapitan Jaga2 dan padi sebelas koyan diterima kapitan itu pinta Tuan Gurnador terima ambil dan jika ada kapas yang baik tiada sampah pinta Tuan Gurnador beri mari pada Kapitan Jaga2 itu barang lima puluh bandala dengan harga yang serupa sedikit boleh perhamba himpun timah diberi pergi pada Tuan Gurnador tiadalah berputusan pergi surat hari khamis tiga hari bulan Zulkaedah bermula buah menggusta tengah lima ratus hadiah perhamba akan Tuan Gurnador pinta terima ambil tamat
No comments:
Post a Comment