Ini surat serta tulus dan ikhlas serta suci hati yang tiada antaranya tirai dan hijab dalamnya iaitu daripada Nakhoda Po Ali yang ditariangkan oleh unggas bulbul dengan ragam syauq al-ta’ifin yajri alaikum al-dawam barang diwasilkan Tuhan ‘Azza wa Jalla jua kiranya kepada pihak sahabat kami yang ada sekarang sihat dan afiat Datuk Gurnador Raja yang di dalam Pulau Pinang yang telah termasyhur gah namanya yang kepujian dan telah terdirilah panji2 adilnya pada segala negeri seputar alam dunia ini adalah seperti misk al-adapur man sama al-‘atir yang amat wadih ka diya` al-qamar wa al-nujum maka cemerlanglah cahayanya di dalam alam dunia ini pada menolongi segala anak dagang yang bernawan di dalam negeri Pulau Pinang dan pada mengasih segala faqir dan miskin dan menyayangi segala yang teraniaya barang ditetabkan Tuhan Ilah al-Rahman jua kiranya perangai yang demikian selagi ada perkitaran cakerawala matahari dan bulan awan dan bintang dan barang ditambahkan Allah Ta’ala jua kiranya martabat yang kemuliaan dan kebesaran dan ketinggian selagi ada hayat umur zamannya amin
syahadan barang mafhum kiranya kepada Datuk Gurnador Raja yang di dalam Pulau Pinang akan hal ahwal Nakhoda Po Ali sampai ke Teluk Semawi antaranya sebulan tengah muat padi dengan beras hampir hendak berlayar ke Aceh sampailah Komandor Kapitan Yu dan Kapitan Liban dan Kapitan Buya dan kapal mir dan julang2 maka kata Komandor tuan kita suruh perang Teluk Semawi lalu berparanglah dia serta disuruhnya bantu kepada Kapitan Liban dan Kapitan Buya dan kepada Nakhoda Po Ali maka sama2 kami meriamkan ke darat kerana di darat ada anak buah dan kaum keluarga dan arta Nakhoda Po Ali itupun tiadalah hamba tilik melainkan takut hamba akan tuan kita di Aceh tetapi belum lagi alah orang darat itu demikianlah hal ahwal Teluk Semawi itu kira2 adalah dua hari dimeriamkan kemudian maka itupun berpalinglah ke Pedir maka Nakhoda Po Ali pun tangguhlah ke darat demikianlah perbuatan Teluk Semawi sebermula lagi Nakhoda Po Ali mengadukan halnya di dalam tangguh ke darat sudah parang itu maka Nakhoda Po Ali pun pergi membayar pula niat kepada paderi di kampung Paloh semalam hamba di sana maka orang Jawa semuanya lari ke Timur dilarikannya dengan sampan satu dan sauh besi lima kuku satu dan tempayan empat buah dan pandoman kapal satu dan layar sulab satu itulah yang dilarikannya adapun orang Jawa Khulami semuanya yang lari itu ada berhutang semuanya pertama2 juru mudi Simun namanya ia jadi basmat tengah tujuh belas rial lagi juru batu orang barat dua puluh dua rial lagi juru mudi Dal dua dengan kakaknya tiga puluh rial lagi Si Ngah sebelas rial lagi Si Nga delapan belas rial lagi Pak Sih lima belas rial lagi Isnin lima belas rial lagi Pengan Tan lima belas rial lagi bilung lima belas rial lagi Si Samah lima belas rial lagi Si Wangsa lima belas rial dan Jilani dua puluh tiga rial lagi Panglima Muda lima belas rial lagi Seri Jah lima belas rial pemat orangnya lima belas orang dan Khulami Kapitan Liban seorang hamba tangkap dengan itu jadi enam belas orang pimat jadi rial hutangnya dua ratus empat puluh setengah rial itulah kasih sayang Datuk Gurnador Raja yang di Pulau Pinang akan Nakhoda Po Ali mudah mudahan ada disampaikan Allah sampan itu dengan orangnya sekali2 jangan dilepaskan oleh Datuk melainkan Nakhoda Po Ali menerima kasihlah daripada Datuk melainkan rendah gunung tingginya harap Nakhoda Po Ali akan Datuk demikianlah suatupun tiada alamat al-hayat wa al-mahabbat hanya doa yang khair fi al-lail wa al-nahar pada sanah 125 fi ‘asyr al-shahr Muharam yaum al-Jumu’at tamat al-kalam bi al-khairi wa al-salam
No comments:
Post a Comment