Ya Qadiya al-Hajat
Ini surat daripada hamba Dato’ Syaudagar Nasruddin yang ada terqawaf dalam negeri Terengganu Darul Salam barang disampaikan Tuhan Khaliq al-alam apalah kiranya kepada hadrat Dato’ Gurnador Pulau Pinang yang memegang perintah dan tadbir serta mempunyai kerajaan dan kebesaran dalam kantor kompeni barang ditambah Allah daulat kebesarannya selama ada hayat zamannya supaya jadi tempat pernaungan segala fakir miskin dagang gharib dan ialah yang masyhur wartanya fi jami’ al-buldan pada hal melimpahkan ihsannya serta mempunyai perangai yang lemah lembut dan tolong menolong ma bayna al-qarib wa al-ba’id barang ditinggikan Allah pangkat darjatnya serta beroleh kesenangan dan kesentosaan selama ada cakerawala matahari dan bulan wa ba’adah
barang maklum kiranya hadrat Dato’ maka adalah hamba Dato’ melayangkan sekeping warkah ke hadrat Dato’ peri menyatakan tulus dan ikhlas serta mahabat yang tiada berhingga maka daripada hal kasih kebajikan Dato’ atas hamba Dato’ penuh limpah tiadalah terbalas hamba Dato’ adanya melainkan dahulu Allah wa ba’da RasulNya telah haraplah hamba Dato’ akan penolong Dato’ pada barang sesuatu kesakitan kesukaran hamba Dato’ adanya dan lagi jikalau ada barang sesuatu hajat maksud Dato’ dalam Terengganu hendaklah Dato’ kirimkan surat sebaris kepada hamba Dato’ Insya Allah Ta’ala boleh hamba kerjakan mana sekuasa hamba Dato’ adanya sebermula daripada hal Dato’ menghendaki timah dua ratus pikul maka Dato’ suruh beri kepada kapal hendak pergi ke China itu maka pada ketika kapal itu datang hendak menerima timah itu maka pada waktu itu timah belum sampai dari Palembang maka lepas kapal itu berlayar maka datang perahu hamba Dato’ membawa timah sedikit dari Palembang maka timah itu hamba Dato’ berikan Kapitan Glas adanya maka daripada hal timah Dato’ lebih maklum kerana tiada dalam Terengganu maka daripada hal lada Insya Allah Ta’ala beberapa banyak Dato’ menghendaki boleh hamba Dato’ bicarakan mana sebolehnya2 adanya dan seperkara lagi jikalau disampaikan Allah hamba Dato’ menyuruh di belakang Kapitan Glas ini akan saudara hamba Dato’ Nakhoda Pariya Tambi bersama2 Kapitan Bek di kici mengadap hadrat Dato’ adanya maka adalah hamba Dato’ beri pergi haji2 di kapal Kapitan Glas hendak ia pergi haji maka hendaklah Dato’ tolong pebela akan dia serta hadrat Dato’ tolong tumpangkan di kapal yang hendak berlayar ke Mumbai atau Surati atau ke Mekha atau Malibari melainkan hendaklah Dato’ tolong tumpangkan dengan segeranya wa al-salam khatam tiadalah sesuatu tanda hayat yang hamba Dato’ sembahkan ke hadrat Dato’ hanyalah kain sarung sutera buatan Palembang sehelai tiadalah sepertinya melainkan hadrat Dato’ buat basahan sahaja adanya tamat al-kalam
No comments:
Post a Comment