Qawluhu al-Haqq
Hamba Dato’ Syaudagar Nasruddin yang ada terqawaf di negeri Terengganu Darul Salam barang disampaikan Tuhan Khaliq al-‘alam apalah kiranya kepada pihak hadrat Dato’ Gurnador yang ada istiqam di Pulau Pinang serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah kantor kompeni barang ditambah Tuhan Allah kebesarannya dan kemuliaannya selagi ada cakerawala matahari dan bulan dan dianugerah Allah sihat dan afiat selagi ada hayat zamannya wa ba’dah
barang maklum kiranya hadrat Dato’ maka daripada hal hamba Dato’ berlayar tahun dahulu hendak ke Palembang maka lalu hamba Dato’ singgah Mempawah dan Pontanak maka serta hamba Dato’ sampai ke Pontanak ada kira2 dua bulan maka datang khabar akan hal Kapitan Glas sudah tenggelam kapalnya maka serta hamba Dato’ dengar khabar Kapitan Glas demikian itu maka tiadalah jadi hamba Dato’ pergi ke Palembang maka hamba Dato’ berlayarlah dari Pontanak maka lalu singgah Mempawah dan Sambas maka serta hamba Dato’ sampai ke Sambas maka datang pula khabar akan hal Kapitan Bek dengan maklumnya sudah mati di Pulau Pinang maka kici pun tinggal di Pulau Pinang kepada hadrat Dato’ maka pada tahun ini banyaklah kesusahan hamba Dato’ serta dengan kerugian maka hamba Dato’ pun berlayarlah dari Sambas pulang ke Terengganu maka serta hamba Dato’ sampai ke Terengganu maka akan hal negeri Terengganu pun dalam susah kerana orang Siak hendak melanggar Terengganu adanya sebermula daripada hal suruhan Dato’ Kapitan Hamatan maka hamba Dato’ pun sampai ke Terengganu maka dianya sudah ada di Terengganu dan serta ia membawa surat Dato’ akan hamba Dato’ maka surat itupun sampailah kepada hamba Dato’ maka hamba Dato’ sambutlah dengan beberapa hormatnya maka serta dibuka daripada meterinya maka kharajlah kalam dan nizam maka fahamlah hamba Dato’ barang yang termazkur dalamnya maka tersebut dalamnya Dato’ suruh tolong akan Kapitan Hamatan maka hamba Dato’ tolong akan dia mana sekuasa hamba Dato’ maka daripada hal timah maka segala suruhan hamba Dato’ pergi ke Palembang belum lagi datang dan akan hal lada hamba Dato’ beri akan dia mana sekadarnya dan daripada hal dagangannya opiun patna sudah dijualnya sebelum hamba Dato’ sampai maka akan opiun yang lain tinggal kepadanya maka tersebut dalam surat yang dibawa kepada hamba Dato’ dalam seratus tiga puluh labanya maka hamba Dato’ lihat segala macam itu maka opiunnya ada kurang sedikit jadi tiada sampai hemat hamba Dato’ mengambil bagaimana dalam surat Mister Firli dan Dato’ maka hamba Dato’ ambil bagaimana modal Mister Firli kerana pada fikir hamba Dato’ jikalau tiada hamba Dato’ ambil jadi kerugian atas Mister Firli maka sebab itulah hamba Dato’ ambil maka itupun jikalau suka Mister Firli jikalau tiada hamba Dato’ bayar juga supaya jangan jadi berputusan suruhan Dato’ serta Mister Firli dan akan hal kain hamba Dato’ bayar dalam seratus tiga puluh adanya maka daripada hal timah jikalau datang timah dari Palembang maka hamba Dato’ muatkan suruh ia pergi ke China jikalau tiada datang timah maka hamba Dato’ beri lada serta emas pulang ke Pulau Pinang ahwal itulah hamba Dato’ nyatakan melainkan lebih ikhtiar Dato’ beri surat kepada Mister Firli maka boleh Dato’ periksa segala kapitan yang di Terengganu pada hal timah tiada hamba Dato’ beri barang sekeping akan sorang demikian lagi tersebut menghendaki berhubungan jalan perniagaan itu jika Mister Firli beri dagangan seperti segala jenis dagangan yang hamba Dato’ kehendaki maka hamba Dato’ berilah dalam seratus tiga puluh jikalau Mister Firli suka lada ambil lada jikalau suka emas ambil emas maka segala jenis dagangan itu hamba Dato’ buat surat dengan bahasa Inggeris antarkan bersama2 surat ini maka hendaklah Mister Firli muatkan dagangan yang tersebut itu pada sebuah kapal antarkan pada tiap2 musim dan lagi harga dagangan boleh Mister Firli lihat kepada dalalal yang hamba Dato’ beli di Benggala itu kemudian daripada itu maka daripada hal perkiraan Kapitan Glas Dato’ menghendaki itu maka sekaliannya ada dengan suratan Kapitan Glas sendiri kepada hamba Dato’ maka hamba Dato’ hendak beri pergi surat itu maka pada hemat hamba Dato’ tiadalah boleh selesai kerana hamba Dato’ mengambil dagangan kepada Glas pun maka perjanjian hamba Dato’ dengan Kapitan Glas pergi ke Palembang maka hamba Dato’ pun berlayarlah ke Palembang dengan enam tujuh buah perahu maka serta keluar dari Kuala Terengganu dikehendaki Allah pecah kici hamba Dato’ sebuah maka beberapa dagangan yang rosak dan sebuah kici patah tiang bocor perahu maka beberapa dagangan yang basah maka segala jualan serta dagangan yang tiada laku apabila sudah selesai gaduh negeri ini hamba Dato’ mengadap Dato’ serta bawa surat jualan dan dagangan yang basah itu boleh Dato’ lihat kerana bukan hamba Dato’ berutang kepada Kapitan Glas melainkan bersyarikat sahaja dengan Kapitan Glas adanya sebagai lagi daripada hal kici Kapitan Bek hendaklah Dato’ tolong antarkan maka daripada hal belanjanya maka Dato’ tolong belanjakan beri mari surat segala belanjanya dan rial yang dibawa Kapitan Bek enam ribu rial maka rial itu dipegang oleh Mister Glas maka rial itu rial Kapitan Glas yang tinggal kepada hamba Dato’ maka sekarang pun Kapitan Glas sudah tiada melainkan dahulu Allah wa ba’da RasulNya yang hamba Dato’ akan Dato’ harap akan Dato’lah menolong hamba Dato’ pada barang sesuatu perkara dan jikalau ada dagangan Surati seperti kain cindai benang dan cat Surati dan lelangit2 Surati hendaklah Dato’ muatkan di kici itu serta dengan orang Dato’ mari bersama2 dan seperti kain cindai benang jikalau ada seribu kodi pun hendaklah muatkan Insya Allah Ta’ala apabila sudah selesai gaduh negeri ini hamba Dato’ pun boleh pergi dalam kici itu bersama2 orang Dato’ mengadap Dato’ maka bolehlah selesai sekalian perkiraan dan lagi hendaklah Dato’ tolong ubat bedil barang seratus tong dan peluru empat pun dan lima pun enam pun barang seratus pikul dan belerang barang lima ratus pikul haraplah
Hamba Dato’ akan penolong Dato’ itu dan lagi hendaklah Dato’ tolong akan suruhan hamba Dato’ itu Uwan Muhamad beri akan dia mana kekurangannya kerana tiada hamba Dato’ beri pergi sesuatu sebab banyak gaduh lagi pergi jalan darat maka apabila Dato’ beri akan dia surat akan hamba Dato’ Insya Allah Ta’ala boleh hamba Dato’ bayar adanya maka tiadalah sesuatu tanda hayat melainkan bersama2 hamba Dato’ tamat al-kalam diperbuat surat ini pada empat belas haribulan Zulkaedah pada sanah 1203
No comments:
Post a Comment