Al-Shams wa al-Qamar wa al-Nujum
Bahawa ini surat tulus dan ikhlas serta suci hati yang tiada menaruh syak dalamnya iaitu daripada Paduka Seri Sultan Mansur ibn al-Marhum al-Sultan Zainal Abidin yang mempunyai tahta kerajaan negeri Terengganu dengan segala daerah takluknya barang diwasilkan Tuhan sarwa alam sekalian apalah kiranya kepada anak kita dan kekasih kita iaitu Senyur Gurnador yang mempunyai kebesaran dan kekayaan di dalam daerah Pulau Pinang yang amat baik budi pekerti lagi setiawan atas melakukan berkasih kasihan dengan segala handai taulannya qarib wa al-ba’id maka dipohonkan kepada Tuhan Allah barang bertambah2 lanjut usia umur zamannya pada tiap2 peredaran cakerawala matahari dan bulan wa ba’dah
daripada itu barang mafhum kiranya anak kita maka adalah kita menyuruhkan Sayid Zain dan Ora Kaya Seri Wangsa dan Saudagar Parya Tambi mengadab anak kita membawa sebuah perahu kici dengan muatannya dagangan serba sedikit maka dahulu Allah ba’da RasulNya telah harablah kita akan tolong anak kita akan suruhan kita itu daripada barang suatu hal ahwalnya dan kesakitannya dan jual belinya pada sekalian perkaranya melainkan kita harab akan tolong anak kita jua syahadan sebagai lagi kita minta tolong kepada anak kita bicarakan muatan kici itu beras dan lagi kita minta tolong kepada anak kita ubat bedil barang seratus tong melainkan telah tertinggilah harab kita akan anak kita bicarakan beras dan ubat bedil itu kerana sangatlah kekurangan kepada kita dari itulah jadi kita tolong kepada kepada anak kita dan jikalau sudah diperoleh permintaan kita itu melainkan hendaklah anak kita berikan kepada suruhan kita itu sebermula daripada hal segala perkiraan daftar Saudagar Nasruddin itu sekaliannya kita suruh bawa kepada suruhan kita pergi itu melainkan hendaklah anak kita periksa lihat segala yang di dalam daftar itu selesaikan segala perkiraan itu dengan Orang Kaya Seri Wangsa dan Saudagar Parya Tambi supaya boleh jelas sekaliannya dan sebagai pula daripada hal kapal Kernatuk itu melainkan hendaklah anak kita suruhkan dia datang ke Terengganu serta dengan orang anak kita orang putih bersama2 dengan suruhan kita itu dan apabila sampai ia ke Terengganu jikalau tiada suatu daruratnya negeri Terengganu Insya Allah Taala boleh kita bicarakan lada muatan kapal itu kita menyuruh pergi ke China maka daripada muatannya itu kita bersyarikat dengan anak kita bagaimana pada zaman Saudagar Nasruddin dahulu adapun akan hal Orang Kaya Seri Wangsa Saudagar Parya Tambi itu hendaklah anak kita tolong selesaikan segala pekerjaannya suruhkan dia berlayar pulang ke Terengganu dengan segeranya dan sebagai lagi daripada hal anak kita janganlah berputusan daripada suruh menyuruh pergi mari serta tolong menolong pada barang suatu hajat dan maksud antara kedua buldan kerana Terengganu dan Pulau Pinang itu jadi suatu hamparan demikianlah adanya kepada hati kita dan lagi hendaklah anak kita dengar2 kan khabar negeri Terengganu itu kerana Siam memberi surat pada kita maka sangatlah bersalah salahan baunya perkataan di dalam suratnya itu seolah2 hendak melanggar Terengganu pada musim hadapan ini di dalam pada itu Wallahu A’lam syahadan sebagai pula daripada hal pekerjaan membalau yang anak kita beri mari di dalam kici kepada Syeikh Muhamad dan Nakhoda Sitam itupun hendaklah anak kita selesaikan kerana banyaklah kerugian kita di dalam membalau itu kerana tiada laku sekali2 maka daripada hal Sheikh Muhamad dan Nakhoda Sitam itupun kita suruh mengadab anak kita bersama2 dengan Orang Kaya Seri Wangsa dan Syaudagar Parya Tambi akan menyelesaikan perkiraan membalau itu maka daripada hal dagangan yang ditinggalkan Sheikh Muhamad dan Nakhoda Sitam itu jikalau sudah laku hendaklah anak kita berikan harganya itu kepada suruhan kita dan jikalau belum laku dagangan itu hendaklah pulangkan kepada suruhan kita itu boleh dijualkannya barang berapa patut harganya dan sebagai pula daripada hal surat anak kita beri mari kepada Kapitan Jabsin itu serta dengan daftar telah sampailah kepada kita maka tersebut di dalam daftar itu anak kita hendak bayar harga Kapal Karnatuk lima ribu rial maka daripada hal pekerjaan itu kita minta maaf kepada anak kita kerana banyak lagi rugi dan lagi tersebut daripada hal belanja atas kapal itu tiga laksa empat ribu tujuh ratus dua puluh enam sesuku maka belanjanya sahaja yang tersebut dan labanya berniaga dari Pulau Pinang ke Benggala ke Mumbai dan ke Manderas dan laba dari China maka suatupun tiada tersebut dalamnya dan sebagai pula daripada hal rial sepuluh ribu yang anak kita beri mari kepada Kapitan Karnigi itupun tiada kita terima disebutnya pun tiada dan sebagai pula daripada hal rial syaudagar berkirim kepada anak kita lima belas ribu kepada Kapitan Karnigi serta dengan opiun dua puluh lima peti dan tembakau Cina empat puluh keranjang jadi penambah modal membeli kapal baru maka surat tapak tangan Kapitan Karnigi itupun ada kepada kita maka itupun hendaklah anak kita selesaikan berikan kepada Orang Kaya Seri Wangsa dan Saudagar Parya Tambi dan sebagai pula daripada hal beras jikalau barang berapa bolehnya itupun hendaklah anak kita muatkan kepada kapal mana yang mari dahulu ke Terengganu dan akan hal sewanya atas kapal itu berapa yang patut tiada kita salah dan daripada dagangan Bilayit yang anak kita beri mari kepada Kapitan Jabsin itu hanyalah yang kita terima banyaknya seribu lima ratus sembilan puluh tengah dua rial dan opiun kita terima kepada Kapitan Fakar dua puluh enam peti jadi rialnya dulapan ribu enam ratus empat puluh tiga rial mana yang lebih rial sudah kita tambah beri kepada kapitan maka dahulu pun sudah beri pergi kepada Kapitan Jabsin sekalian khabar sudah ada dalam itu maka sekarang segala daftar yang baharu ini yang anak kita beri mari sudah kita beri pergi kepada Orang Kaya Seri Wangsa dan Saudagar Parya Tambi hendaklah anak kita berkira2 selesaikan beri tentu itulah ahwalnya kita nyatakan kepada anak kita dan sebagai pula kita minta tolong kepada anak kita jikalau menjadi kemudahan kepada anak kita hendaklah anak kita suruh mari ke Terengganu perahu Jaga2 sebuah kepada bulan Saaban ini serta dengan orang Putih kerana kita hendak menyuruh pergi ke Siam serta dengan orang kita bersama2 membawa surat kepada Raja Siam itu supaya boleh tentu baik dan jahatnya itulah kita minta tolong kepada anak kita telah harablah kita akan bolehnya dan sebagai lagi ada orang Arab namanya Sheikh Muhamad maka dia hendak pulang ke negeri Arab maka hendaklah anak kita tolong tumpangkan di dalam kapal orang Putih yang baik2 supaya boleh dia sampai dengan segeranya maka suatu pun tiada alamat al-hurmat daripada kita akan anak kita hanyalah Kain Besar sehelai buatan orang negeri Terengganu minta jangan diaibkan kerana tiada dengan sepertinya tamat al-kalam termazkur warkah ini kepada dua belas hari bulan Rejab sanat 1207
No comments:
Post a Comment