Qawluhu al-Haqq
Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas iaitu daripada hamba Dato’ Syaudagar Nasruddin yang ada terqawaf di negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Rab al-Anam apalah kiranya kepada pihak hadrat Dato’ Gurnador yang ada istiqam serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah jazirah Pulau Pinang barang ditambah Allah kebesarannya dan kemuliaan dan dilanjutkan Allah umur usianya serta dianugerah Allah sihat dan afiat selagi hayat zamannya wa ba’dah
barang maklum kiranya hadrat Dato’ maka daripada hal pekerjaan kapal Kapitan Long membawa dagangan seperti meriam dan opiun dan embalau dan belerang itu sudah hamba Dato’ punggahkan ke darat maka hamba Dato’ muatkan lada empat ribu pikul maka di dalam itu Kapitan Long pinta seratus pikul hamba Dato’ beri akan dia maka tengah duduk bermuat lada ada kira2 dua ribu pikul lebih kurang maka hamba Dato’ tanya kepada Kapitan Long berapa boleh muat lada dalam kapal maka kata Kapitan Long boleh muat lima ribu pikul maka hamba Dato’ fikir hendak muat lada Mister Farli barang seribu pikul kemudian sudah sampai empat ribu pikul kata Kapitan Long tiada boleh muat lada Mister Farli lagi maka jadi hairanlah hamba Dato’ maka kapal sebesar ini tiada boleh muat lima ribu pikul maka di dalam duduk bermuat lada itu datang Kapitan Lik mari dari Palembang membawa timah maka kata Kapitan Lik kepada Kapitan Long hendak ia bermuat timah kapal Kapitan Long maka Kapitan Long pun berkhabar kepada hamba Dato’ maka hamba Dato’ pun suruh muat timah barang emat ratus lima ratus pikul supaya boleh lepas belanja kapal barang setengah bulan maka kata Kapitan Long pun boleh muat barang empat ratus lima ratus pikul maka sudah bermuat lada hamba Dato’ tanya kepada Kapitan Long sudah diterima timah itu maka kata Kapitan Long tiada boleh bermuat lagi timah itu kerana kapal sudah sarat maka hamba Dato’ pun percaya kata Kapitan Long itu maka hamba Dato’ hendak muat rotan barang empat ratus lima ratus gelung pun tiada boleh muat lagi katanya maka selang beberapa hari mari Kapitan Lit dari Palembang duduk di Terengganu maka ia berkhabar Kapitan Long bermuat timah Kapitan Lik beberapa banyak tiada boleh ditentukan tetapi Kapitan Long sudah bermuat timah Kapitan Lik dalam kapalnya maka hamba Dato’ pun jadi ajaiblah perbuatan Kapitan Long itu seperti orang pencuri pekerjaannya syahadan daripada hal segala dagangan yang hamba Dato’ punggahkan ke darat ini Insya Allah Ta’ala sebolehnya2 dan sehabis2 kuasa hamba Dato’ menjualkan dagangan itu kemudian dari itu seperti hamba Dato’ beri pergi surat kepada Kapitan Karnigi akan Dato’ dan akan Kapitan Uskut maka surat itu hamba Dato’ bawa bacakan berhadapan Kapitan Karnigi dan Kapitan Long dan Mister Krat maka hamba Dato’ tanya kepada Kapitan Long bagaimana surat Kapitan Long serupakah dengan surat hamba ini maka jawabnya kepada hamba Dato’ serupa suratnya dengan surat hamba Dato’ maka diperbuatnya surat desut beri pergi akan Dato’ maka segala perkataannya dalam surat itu desut kesemuanya jangan Dato’ pakai maka tiap2 orang baik2 itu apabila kita tunjukkan surat kita maka dianya pun tunjukkan suratnya jikalau ada bersalahan boleh berhadapan maka dianya buat surat desut seperti pencuri itulah halnya hamba Dato’ maklumkan maka daripada hal Mister Krat itu budak terlalu baik akalnya sempurna tiada sekali2 khianah akan Dato’ melainkan dianya carikan jalan kebajikan faedah akan Dato’ maka daripada hal kata Kapitan Long Mister Krat berkhabar akan hamba Dato’ daripada hal dagangan Kapitan Uskut itu dianya taruh dalam seratus dua puluh lima bahawa sekali2 tiada ia berkhabar demikian itu hanya hamba Dato’ ada berkhabar barangkali Kapitan Uskut taruh dalam seratus dua puluh lima kerana hamba Dato’ melihatkan hal dagangan itu serta harganya dalam daftar itu maka hamba Dato’ berkhabar demikian itu kepada Kapitan Long sebagai lagi maka adalah hamba Dato’ beri pergi surat akan syaudagar di China suruh jualkan kapal Kapitan Long itu jikalau laku dua puluh lima ribu rial hamba Dato’ suruh jualkan dan jikalau tiada laku dengan harga itu hamba Dato’ suruh bawa pulang ke Pulau Pinang maka daripada hal kapal itu apabila sampai ke Pulau Pinang hendaklah Dato’ bicarakan jualkan kapal itu kerana hamba Dato’ tiada suka kapal itu melainkan Dato’ bicarakan jualkan babak pada perkiraan hamba Dato’ dalam itu lebih maklum Dato’ sebermula daripada hal segala dagangan yang hamba Dato’ terima kepada Kapitan Long itu dan dagangan yang hamba Dato’ muatkan dalam kapal Kapitan Long pergi ke China itu maka daftarnya sudah hamba Dato’ buat beri pergi dengan bahasa Inggeris kepada Kapitan Karnigi ahwal itulah hamba Dato’ maklumkan ke hadrat Dato’ maka daripada Mister Krat itu hendaklah hadrat Dato’ beri mari ke Terengganu kerana hamba Dato’ hendak suruh salin surat2 banyak kepada hamba Dato’ jangan tiada Dato’ beri mari Mister Krat itu tamat al-kalam diperbuat surat pada lima belas hari bulan Safar pada sanah 1206
No comments:
Post a Comment