Al-Shams wa al-Qamar wa-Nujum
Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas iaitu daripada hamba Dato’ Syaudagar Nasruddin yang ada terqawaf di negeri Terengganu Darul Salam barang disampaikan Tuhan khaliq al-alam apalah kiranya kepada pihak hadrat Dato’ Gurnador yang ada dengan istirahat al-khair serta memegang perintah dan tadbir dalam bandar Pulau Pinang maka masyhurlah wartanya pada hal mempunyai perangai yang lemah lembut serta terlalu arif pada hal melakukan berkasih kasihan tolong menolong pada sekalian sahabatnya di bawah angin ini dan maha bijaksana pada hal melimpahkan ihsannya pada sekalian dagang dan miskin dalam bandarnya dan barang ditambah Tuhan Allah kebesarannya dan kemuliaannya selama ada cakerawala matahari dan bulan wa ba’dah
barang maklum kiranya Dato’ maka adalah hamba Dato’ menyuruh Nakhoda Bawa pergi ke negeri Keling membawa kici hamba Dato’ maka syaudara hamba Dato’ Nakhoda Parya Tambi pun pergi ke Kedah bersama2 dalam kici itu maka apabila diselamatkan Allah sampai kici ke Pulau Pinang maka hendaklah Dato’ tolong akan Nakhoda Bawa itu pada barang sesuatu pekerjaannya serta Dato’ suruh berlayar dengan segeranya pergi ke negeri Keling awal musim serta Dato’ bicarakan dagangan mana yang disuka oleh Nakhoda Bawa adanya maka hamba Dato’ minta tolong kepada Dato’ daripada hal harta hamba Dato’ kepada Mister Farli maka sudah hamba Dato’ terima kepada Kapitan Danlap tengah dulapan ribu rial maka hamba Dato’ beri surat suruh terima kepada Mister Farli maka yang lebih itulah hamba Dato’ minta dagangan kepada Dato’ yang patut ke negeri Keling sebagai lagi utang hamba Dato’ kepada Glas selaksa rial di dalam rial selaksa itu bahagian hamba Dato’ tiga ribu tiga ratus tiga puluh tiga rial sesuku setali dan bahagian Mister Farli pun demikian dan bahagian Glas pun demikian juga akan hal rial itu jikalau Mister Farli menghendaki bahagian hamba Dato’ maka hendaklah Mister Farli ambil di dalam harta Glas kerana utang Glas kepada hamba Dato’ enam ribu dulapan ratus dulapan puluh enam rial maka tentu dengan suratnya utangnya itu jikalau Mister Farli menghendaki minta Mister Farli keluarkan di atas harta Glas terima ambil maka banyak kerugian hamba Dato’ maka Dato’ pun ketahui kerana hamba Dato’ tiada tahu adat sebab itulah hamba Dato’ terkena dan seperti utang Glas dua puluh empat ribu rupia itu maka ditanggungkan atas kapal itu maka tiadalah hamba Dato’ tahu hanyalah yang hamba Dato’ tahu segala dagangan Glas itu hamba Dato’ beli dalam seratus tiga puluh maka rial hamba Dato’ pun dijanjikan dalam seratus tiga puluh jikalau hamba Dato’ tahu demikian itu gilakah hamba Dato’ bawa pergi beri surat Glas kepada Dato’ dan seperti opiun yang dijual di Pulau Pinang kepada Cina Kapitan Cik Ki itupun tanggungan hamba Dato’ maka hamba Dato’ membayar di Terengganu maka rial itu diterimanya di Pulau Pinang dibawanya pergi sekalian kerugian itu maka Dato’ pun maklumlah maka inilah hamba Dato’ minta tolong kepada Dato’ hendaklah Dato’ beri pergi surat kepada Mister Farli boleh Mister Farli kirakan di atas harga Glas jangan banyak kerugian hamba Dato’ inilah hamba Dato’ minta tolong dengan kerana Allah kepada Dato’ kemudian dari itu daripada hal harta hamba Dato’ kepada Kapitan Camnan jikalau sudah Mister Farli terima hendaklah Dato’ terima ambil kepadanya dan seperti besi dan sendawa dan meriam hendaklah Mister Farli tolong muatkan di kapalnya beri mari dan seperti kapal yang hamba Dato’ minta belikan itu jikalau boleh Mister Farli bicarakan belikan kapal Kapitan Camnan dan Kapitan Camnan pun masuk bersama2 kerana Kapitan Camnan itu tahu adat Melayu baik supaya boleh hamba Dato’ bicarakan untung baik sebermula daripada hal emas Dato’ pesan itu maka pada waktu ini tiadalah boleh hamba Dato’ antarkan Insya Allah Taala terbuka kuala ini pada palung air merah hamba Dato’ antarkan dan seperkara lagi daripada hal tapak tangan Mister Farli itu hamba Dato’ beri pergi kepada syaudara hamba Dato’ Nakhoda Parya Tambi maka hendaklah Dato’ tolong ambil tapak tangan itu maka Dato’ beri dagangan yang patut ke negeri Keling akan Nakhoda Bawa maka daripada hal pesan Dato’ akan hal dagangan mana yang boleh hamba Dato’ hendak beri surat dengan nama Dato’ dan nama Kapitan Uskut maka tiadalah Kapitan Danlap mau maka hamba Dato’ hendak berbenah dengan dia pun maka tiada dianya tahu bahasa sebab itulah hamba Dato’ turut maka jadilah hamba Dato’ minta tolong kepada Dato’ maka daripada hal rial yang hamba Dato’ kirim kepada Kapitan Danlap dulapan ribu rial itu hendaklah Dato’ serahkan kepada saudara hamba Dato’ Nakhoda Parya Tambi dan daripada hal tapak tangan Raja Cenak itu hendaklah Dato’ berikan kepada Nakhoda Bawa maka rialnya sudah hamba Dato’ terima jadikan modal kici maka daripada hal syaudara hamba Dato’ Nakhoda Parya Tambi itu hendaklah tolong antarkan dengan segeranya pada bulan Syaaban sampai ke Terengganu hendaklah Dato’ antarkan dalam kici Dato’ mana2 sebuah boleh hamba Dato’ sediakan lada adanya maka segala pesanan dan khabar boleh Dato’ tanya kepada syaudara hamba Dato’ adanya ahwal itulah hamba Dato’ maklumkan adanya tamat al-kalam
No comments:
Post a Comment