Al-Shams wa al-Qamar wa al-Nujum
Bahawa ini sahifat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas iaitu daripada hamba Dato’ Syaudagar Nasruddin yang ada terqawaf di negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Khaliq al-‘alam apalah kiranya kepada pihak hadrat Dato’ Gurnador yang ada istiqam memegang perintah dan tadbir dalam daerah Pulau Pinang barang ditambah Allah kebesarannya serta dipanjangkan Allah umur usianya serta beroleh sihat dan afiat dan barang ditinggikan Allah pangkat darjatnya serta dipelihara Allah daripada mara bahaya dunia selagi ada hayat zamannya wa ba’dah
barang maklum kiranya hadrat Dato’ maka daripada hal warkah yang mukarramah Dato’ ihtimalkan kepada Kapitan Karnigi itu telah sampailah kepada hamba Dato’ pada saat yang mulia dan pada ketika yang ria maka hamba Dato’ sambutlah dengan beberapa hormat dan takzim maka serta dibuka daripada meterinya maka fahamlah hamba Dato’ barang yang termazkur dalamnya syahadan maka adalah daripada hal pekerjaan Kapitan Long membawa dagangan seperti meriam dan opiun dan embalau dan belerang maka sekalian itu sudahlah hamba Dato’ punggahkan ke darat maka hamba Dato’ muatkan lada di kapal Kapitan Long empat ribu pikul maka di dalam itu Kapitan Long pinta kepada hamba Dato’ seratus pikul maka hamba Dato’ beri akan dia seratus pikul maka tengah bermuat lada ada kira2 dua ribu pikul lebih kurang sedikit maka hamba Dato’ tanya kepada Kapitan Long ada berapa boleh muat lada dalam kapal maka kata Kapitan Long kepada hamba Dato’ boleh muat lima ribu pikul maka hamba Dato’ fikir hendak hamba Dato’ muatkan lada Mister Farli barang seribu pikul kemudian sudah sampai empat ribu pikul kata Kapitan Long tiada boleh muat lagi lada Mister Farli itu maka jadi ajaiblah hamba Dato’ kapal sebesar ini tiada boleh muat lima ribu pikul maka di dalam bermuat lada itu datang Kapitan Lik mari dari Palembang membawa timah maka kata Kapitan Lik kepada Kapitan Long ia hendak muat timah di kapal Kapitan Long maka Kapitan Long pun berkhabar kepada hamba Dato’ maka kata hamba Dato’ muatlah timah Kapitan Lik itu barang empat ratus lima ratus pikul supaya boleh lepas belanja dua tiga bulan maka kata Kapitan Long boleh muat barang empat ratus lima ratus pikul maka sudah bermuat lada hamba Dato’ tanya kepada Kapitan Long sudahkah terima timah Kapitan Lik itu maka kata Kapitan Long kepada hamba Dato’ tiada boleh lagi muat timah kerana kapal sudah sarat maka hamba Dato’ pun percayalah kata Kapitan Long itu maka hamba Dato’ hendak muat rotan barang empat lima ratus gelung lagi kata Kapitan Long tiada boleh muat lagi maka Kapitan Long pun berlayarlah maka selang beberapa hari datang Kapitan Lit dari Palembang duduk di Terengganu maka ia berkhabar kepada hamba Dato’ Kapitan Long muat timah Kapitan Lik beberapa banyaknya tiada boleh hamba tahu tetapi Kapitan Long sudah muat timah Kapitan Lik dalam kapalnya maka itulah hamba Dato’ terlalu ajaibkan perbuatan Kapitan Long itu seperti orang pencuri pekerjaan Kapitan Long itu sebermula daripada hal dagangan dalam kapal Kapitan Long sudahlah hamba Dato’ punggahkan ke darat kesemuanya Insya Allah Ta’ala jangan Dato’ susahkan daripada hal dagangan itu melainkan sehabis2 kuasa hamba Dato’ menjualkan dagangan itu kemudian dari itu seperti hamba Dato’ beri pergi surat kepada Kapitan Karnigi akan Dato’ dan akan Kapitan Uskut maka surat itu hamba Dato’ bawa bacakan berhadapan Kapitan Karnigi dan Kapitan Long dan Mister Krat maka hamba Dato’ tanya kepada Kapitan Long bagaimana surat Kapitan Long serupakah dengan surat hamba ini maka kata Kapitan Long serupa dengan surat hamba Dato’ suratnya itu maka diperbuatnya surat desut kesemuanya beri pergi akan Dato’ maka jangan Dato’ pakai segala perkataannya dalam surat itu desut sekaliannya maka tiap2 orang baik itu apabila kita tunjukkan surat kita maka dianya tunjukkan suratnya jikalau ada bersalahan pun boleh berhadapan maka Kapitan Long buat surat desut seperti surat pencuri sahaja itulah halnya hamba Dato’ maklumkan sebagai lagi daripada hal Mister Krat itu budak terlalu baik sempurna akalnya tiada sekali2 khianat akan Dato’ melainkan semata2 dianya carikan jalan kebajikan faedah akan Dato’ juga dan lagi boleh Dato’ harap akan dia suruh dianya pergi ke mana2 seperkara lagi kata Kapitan Long Mister Krat berkhabar akan hamba Dato’ daripada hal dagangan Kapitan Uskut itu dianya taruh dalam seratus dua puluh lima itu bahawa sekali2 tiada berkhabar demikian itu hanya hamba Dato’ ada berkhabar barangkali Kapitan Uskut taruh atas seratus dua puluh lima kerana hamba Dato’ melihatkan hal dagangan itu serta harganya dalam daftar itu maka jadilah hamba Dato’ berkata demikian itu kepada Kapitan Long sebagai lagi maka adalah hamba Dato’ beri pergi surat akan Syaudagar Cina hamba Dato’ suruh jualkan kapal itu apabila laku dua puluh lima rial jualkan kapal itu jikalau tiada laku bawa pulang ke Pulau Pinang maka pada perkiraan hamba Dato’ lebih baik dijualkan kapal itu dalam itu mana ikhtiar Dato’ hamba Dato’ turut tetapi jikalau Kapitan Long menjadi kapitan dalam kapal itu nesycaya banyak boleh hilang uwang kerana dianya orang jahat ahwal itulah hamba Dato’ maklumkan ke hadrat Dato’ adanya tamat al-kalam diperbuat surat ini pada enam likur haribulan Muharam pada sanah 1206
No comments:
Post a Comment