Wednesday, July 15, 2020

Surat Saudagar Nasruddin kepada Francis Light (MS 40320/11, f.106) berkaitan perdagangan ke Benggal

Qawluhu al-Haqq

Hamba Dato’ Syaudagar  Nasruddin maklumkan kehadrat Dato’ Gurnador yang ada istiqam di bandar Pulau Pinang serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah kantor kompeni barang ditambah Tuhan Allah kebesarannya dan kemuliaannya selagi ada cakerawala matahari dan bulan dan dipanjangkan Allah umur usianya serta dengan sihat dan afiat selagi ada hayat zamannya wa ba’dah 

barang maklum kiranya hadrat Dato’ maka hendaklah Dato’ beri pergi surat kepada sahabat hamba Dato’ itu Mister Firli  minta beri mari dagangan bagaimana dalam surat hamba Dato’ ini jikalau Mister Firli  hendak laba dalam seratus tiga puluh pun hamba Dato’ suka atau Mister Firli  hendak bersyarikat dengan hamba Dato’ pun hamba Dato’ suka maka jenis dagangan yang hamba Dato’ minta kepada Mister Firli  itu pertama2 permadani  seribu potong panjang tengah lima hasta maka harganya bagaimana hamba Dato’ beli bersama2 Kapitan Glas  dahulu lima puluh sekodi dan lagi cit  Patna  dua ribu potong harganya sekodi 20 dan lagi kain putih bahar  mal mal  seribu potong harganya pada sekodi 60 dan lagi kain ali bat  khas seribu potong harganya sekodi 70 dan lagi kain putih kaci  pir mal mal  seribu potong harganya sekodi 70 dan lagi kain cadakan  bafta  seribu potong harganya sekodi 30 dan kain gara  seribu potong harganya sekodi 78 dan kain laki furbafta  tengah dua ribu potong harganya sekodi 57 2/1 dan kain celupan yang baik seribu potong harganya sekodi 80 dan yang lebih daripada itu opiun  Patna  seratus peti maka inilah segala jenis dagangan yang hamba Dato’ pinta beri mari kepada sahabat hamba Dato’ itu Mister Firli  dan lagi hendaklah Mister Firli  periksa kepada Ram  Dalal  dianya mengetahui segala jenis dagangan yang hamba Dato’ kehendaki kerana ada hamba Dato’ tinggalkan surat jenis dagangan itu kepada Ram Dalal dan akan hal harga dagangan itu lebih kurang sedikit tiada apa dan akan hal dagangan itu apabila Mister Firli  beri mari hendaklah Dato’ taruh di Pulau Pinang sembentara hamba Dato’ datang ke Pulau Pinang maka Insya Allah Taala apabila hamba Dato’ sampai ke Pulau Pinang boleh hamba Dato bicara dengan Dato’ adanya sebagai lagi daripada hal maklum Mister Fari  itu hendaklah Dato’ beri pergi surat kepada Mister Firli  pinta dianya maka apabila diberi oleh Mister Firli  akan hamba Dato’ mualim Mister Fari  itu hendaklah Dato’ beri mari dalam kici hamba Dato’ itu suruh dianya jadi mualim kerana hamba Dato’ sudah berjanji dengan mualim Mister Fari  itu sebermula apabila lebih dagangan Mister Firli  beri mari jikalau hendak ia suruh ke China boleh hamba Dato’ sebahagi dalamnya ahwal itulah hamba Dato’ maklumkan kehadrat Dato’ dan adalah hamba Dato’ beri pergi kepada Kapitan Hamatan  Patikuan  teh  jadam serta dengan alasnya ceper jadam akan Mister Firli  maka hendaklah Dato’ ambil kepada Kapitan Hamatan beri pergi akan sahabat hamba Dato’ itu Mister Firli  adanya tamat al-kalam dan lagi seperti juru bahasa Ja Akib  itu jikalau hamba Dato’ tiada datang ke Pulau Pinang melainkan beri dianya mari bersama2 mualim Mister Fari  dalam kapal Mister Firli  dan lagi hamba Dato’ minta kambing kibash barang dua ekor sepasang dan kambing bebiri barang seratus ekor hendaklah Mister Firli  beri mari kambing itu pada barang kapal yang hendak mari ke Terengganu tamat al-kalam

No comments:

Post a Comment