Thursday, July 2, 2020

Surat Sultan Mansur Terengganu kepada Francis Light (MS 40320/11, f.85) berkaitan risikan kedudukan Belanda dan Perancis, perdagangan opium dan lada dan masalah dengan Siam (Jumaat, 18 Zulkaedah 1201 / 31 Ogos 1787)

Qawluhu al-Haqq

Ini surat pada menyatakan tulus dan ikhlas serta kasih dan sayang yang tiada berhingga iaitu daripada Seri Paduka ayahanda Seri Al-Sultan Mansur Ri’ayat Shah ibni al-Marhum al-Sultan Zainal Abidin yang di atas takhta kerajaan negeri Terengganu Darul Salam barang disampaikan Tuhan Rab al-alam apalah kiranya kepada sahabat kita dan kekasih kita iaitu anak kita Gurnador Pulau Pinang yang memegang perintah kompeni di bawah angin ini dan lagi terlalu arif dan bijaksana pada hal melakukan berkasih kasihan tolong menolong pada sekalian sahabatnya Raja2 dan Orang Besar2 dan ialah yang mempunyai perangai yang lemah lembut seperti air embun sejuknya menghilangkan haus segala sahabatnya dan seperti ambar  dan kasturi harumnya memuaskan nafsu segala taulannya dan lagi amat setiawan maka masyhur wartanya di atas angin dan di bawah angin gagah perkasa pada medan peperangan maka termegah ausaf  hamidahnya  pada sekalian buldan pada hal memerintahkan khair dan solah  serta memberi manfaat dan faedah pada samanya  Raja2 dan Orang Besar2 di bawah angin maka barang ditinggikan Allah pangkat darjatnya serta beroleh gah kebesaran dan kemuliaan selama ada cakerawala matahari dan bulan dan dipinta kepada Allah barang selamat sempurna dengan istirahat khair dan afiah daripada sekalian mara bahaya dunia selagi ada hayat zamannya wa ba’dah 

barang mafhum kiranya anak kita akan hal warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang dibawa Kapitan Bilayar  kapal Jaga2 itu telah sampailah kepada Seri Paduka ayahanda pada saat yang mulia pada ketika yang ria maka disambutlah dengan beberapa hormat kebesaran serta kemuliaan maka serta dibuka daripada meteri lafifahnya maka berhamburlah kalam al-husna  perkataan yang kebajikan maka sangatlah jadi kesukaan dan keredhaan Seri Paduka ayahanda akan anak kita memberi sentosa selamat al-khair akan kerajaan negeri supaya jadi pertambatan persatuan antara kedua buldan suruh bersuruhan tiada berkeputusan ‘ala al-dawam syahadan akan hal beras yang anak kita beri mari kepada Kapitan Bilayar dua ratus guni itu telah sampailah kepada Seri Paduka ayahanda maka sangatlah kita menerima kasih akan penolong anak kita maka akan hal harganya lima ratus rial itu sudah kita bayarkan kepada Kapitan Bilayar adanya maka seperti hal Wolanda  anak kita minta periksa tentukan tempat negeri Wolanda di sebelah timur ini dan besar kotanya dan banyak orangnya itu lebih tahu anak kita akan tempatnya dan negerinya dan besar kotanya dan banyak orangnya di sebelah Timur ini dan lagi anak kita minta segala perahu Bugis pergi berniaga ke Pulau Pinang itu maka sudahlah Seri Paduka ayahanda bicarakan dengan segala orang Bugis yang masuk ke Terengganu suruh ia pergi ke Pulau Pinang pada musim datang adanya dan lagi anak kita minta benih cengkih dan benih buah pala serta dengan orang pebelanya itu maka tiada penah  didengar ada benih cengkih dan benih buah pala di tanah Melayu ini adanya dan lagi anak kita minta tentukan khabar Perangsih  di negeri Kochi itu maka akan hal Perangsih  khabarnya ada ia pergi ke Kochi  tahun dahulu singgah sebentar tetapi tiada ia duduk dalamnya dan jikalau ada barang sesuatu bicaranya dengan orang Kochi  itu tiadalah Seri Paduka ayahanda menengarnya  dan seperti lada anak kita suruh berjanji dengan kompeni itu telah sukalah Seri Paduka ayahanda maka pada hal harganya itu hendak dibayar dagangan harga modal belian dan lepas sewa kapal itu maka tiadalah Seri Paduka ayahanda tahu mengira2kan harga belian dan lepas sewa kapal itu maka Seri Paduka ayahanda fikirkan dengan sehabis2 ikhtiar dengan Kapitan Glas  melainkan yang boleh Seri Paduka ayahanda ambil opiun  harganya pada sepeti dua puluh lima pikul lada cuci hingga itulah harganya yang boleh Seri Paduka ayahanda ambil lebih daripada itu tiadalah boleh Seri Paduka ayahanda ambil adanya maka jikalau sudah qabul demikian itu anak kita serta dengan kompeni maka hendaklah anak kita antarkan  opiun  pada bulan Mayu  banyaknya dua ratus peti maka Seri Paduka ayahanda bayar ladanya itu sehabis2 akhirnya hingga pada lima belas hari bulan Agus  cuci demikianlah perjanjian kita dengan anak kita dan kompeni adanya maka seperti khabar negeri Terengganu ini maka sangatlah digaduhkan oleh Siam maka banyaklah kehendaknya Siam kepada Seri Paduka ayahanda maka datang surat daripada anak kita kepada Kapitan Glas  suruh turut bagaimana kehendak Siam itu pada musim ini supaya jadi muafakat dahulu maka Seri Paduka ayahanda pun turutlah bagaimana kehendak Siam itu pada musim ini tetapi Seri Paduka ayahanda tiadalah percaya akan perkataan Siam itu segala2 maka jikalau sudah qabul daripada perkiraan kita dengan kompeni itu maka hendaklah anak kita antarkan  bendera serta cap jikalau boleh dahulu daripada bulan Mayu  kerana kita sangatlah dalam gundah maka akan hal pekerjaan kita dengan kompeni Inggeris ini bagai2 nyatalah sudah kepada Wolanda  dan Siam maka inilah kita sangat minta tolong kepada anak kita bicarakan menetapkan  negeri ini dengan segeranya dan lagi jikalau boleh kita minta tolong kepada anak kita suruhkan perahu Jaga2 dua tiga buah barang dua tiga bulan melihat2 akan hal negeri ini adanya maka seperti hutang Kapitan Banggul  itu ada dengan daftarnya daripada ambilannya dan bayarannya Seri Paduka ayahanda beri pergi boleh anak kita periksa adanya tamat al-kalam diperbuat surat ini pada dulapan belas haribulan Zulkaedah pada hari Jumaat pada waktu pukul lima pada sanah 1201

No comments:

Post a Comment