Nur Shams wa al-Qamar
Bahawa ini warqat al-maujud dan wa hadiyyat al-mamdud maka dipesertakan pulak dalamnya tulus dan ikhlas serta suci putih hati yang tiada berhingga dan bermasa selagi ada nubah perkisaran cakerawala nur shams wa al-qamar iaitu daripada Yang Dipertuan Tuha dalam negeri Siak Pekan Baru barang diwasilkan Allah Tuhan sarwa sekalian alam juga apalah kiranya datang kepada sahabat saya Senyor Gurnador yang ada semayam di atas tahta kerajaan memerintahkan di dalam negeri kota Pulau Pinang Darul Aman wa al-Jinan yang telah beroleh pangkat martabat yang kebesaran dan darjat yang kemuliaan serta sangat arif budiman dan bijaksana daripada melakukan jalan perintah berkasih kasihan atas segala sahabat handai taulannya qarib dan ba’id menjadi termasyhurlah warta ihsannya kepada segala buldan timur dan barat maka sebab perangai dan tabiat yang demikian itu beroleh nama yang kepujian juga ‘ala al-dawam maka saya pohokan kepada Tuhan hannan al-mannnan barang bertambah2 juga kekayaan dan berpanjangan daripada usia umur zamannya dalam sihat dan afiat amin ya rab al-‘alamin wa ya mujib al-sa’ilin wa ba’dah
daripada itu barang mafhum kiranya sahabat saya akan hal warqat al-ikhlas wa tuhifat al-ajnas daripada sahabat saya yang dibawa oleh Nakhoda Usul dahulu setelah sudahlah selamat sampai dengan sejahteranya kepada saya itupun barang yang ada termazkur dalamnya fahamlah saya daripada sekalian perkaranya itu syahadan lagi seperti hal Nakhoda Usul sudahlah jadi orang besar berkadar Seri Pekerma Raja maka tersebut dalam warqat sahabat saya itu sahabat saya minta tentukan kepada saya ada ke boleh berdagang memasukkan opiun ke dalam negeri Siak atau tiada boleh itupun boleh sahabat saya berdagang memasukkan opiun ke dalam negeri Siak atau kapas atau kain akan tetapi saya minta kepada sahabat saya jangan masuk bangsa orang putih barang seorang juga di dalam perahu itu mengantar opiun ke Siak jikalau bangsa orang hitam sebarang bangsa boleh hendaklah sahabat saya suruh antarkan ke Siak opiun yang baik Patna maka banyak tepaknya dalam satu peti empat puluh dua sekurang2nya tepaknya empat puluh bolehlah habis barang lima puluh peti dalam setahun harganya dalam satu peti boleh laku tiga ratus lima puluh ringgit jikalau dengan emas harga emas dalam sebonggol Siak empat likur rial ringgit dan lagi seperti hal kapas bolehlah habis barang lima puluh bahara maka harganya dalam satu bahara dua bonggol emas bonggol Siak dan lagi seperti hal dagangan kain tiadalah boleh saya tentukan harganya mana patut kepada sekalian saudagar dalam negeri Siak daripada jenis rupanya dengan harganya kerana bukannya larangan Raja akan hal warqat daripada sahabat saya dahulu sudahlah saya balas saya suruhkan orang yang membawa surat saya itu Nakhoda Ismail bersayung dua buah perahu dengan Nakhoda Muhamad maka Nakhoda Ismail itu dengan takdir Allah Ta’ala berlayar sampai ke Pulau Tamburak rosak perahunya tiadalah sampai surat itu kepada sahabat saya maka inilah saya menyuruhkan anak saya Sayid Abdullah dua buah perahu pencalang kecil dengan Nakhoda Gam membawa sagu pergi ke Pulau Pinang kepada sahabat saya jikalau ada kiranya sahabat saya percaya serta redha dan suka kepada saya orang yang miskin saya minta tolong juga banyak2 kepada sahabat saya saya hendak berutang opiun yang baik dan kain celupan dan kain gajah putih barang berapa banyaknya yang redha sahabat saya mengutangi saya tentang daripada harganya mana yang patut kepada anak saya Sayid Abdullah dengan sahabat saya dalam daripada itu jikalau boleh seperti pemintakan saya itu kepada sahabat saya hendaklah sahabat saya serahkan kepada tangan anak saya itu Sayid Abdullah baik opiun atau kain dialah yang membawanya kepada saya ke Siak kemudian boleh saya antarkan rial sahabat saya itu ke dalam negeri Pulau Pinang kepada sahabat saya dan lagi seperti hal Sayid Abdullah dengan Nakhoda Gam jikalau ada barang sesuatu hal akhwalnya baik sukar sakitnya dahulu Allah wa ba’d rasulNya harablah saya akan tolong pelihara sahabat saya atas dianya dan lagi jikalau sudah selesai Sayid Abdullah dengan Nakhoda Kam daripada berjual belinya dalam negeri Pulau Pinang sahabat saya segerakan Nakhoda Gam itu berlayar dahulu pulang ke Siak seperti hal anak saya itu Sayid Abdullah dianya saya suruh lalu pergi ke Kedah mencari2 beras jikalau ada dapat sedikit2 kemudian daripada itu suatupun tiada burhan al-wujud daripada saya kepada sahabat saya lagi tiada dengan sepertinya yang dipesertakan kepada akhir ashtarani hanyalah ada lilin beratnya sepikul dan gading kecil dua pasang dan yang sepasang beratnya tujuh kati dan yang sepasang beratnya sepuluh kati hendaklah sahabat saya terima dengan suka hati serta doa fi al-lail wa al-nahar sanah 1208 kepada sehari bulan al-Muharam kepada hari Khamis fi waqt duha
No comments:
Post a Comment