Ya Aziz
Sembah takzim dan takrim daripada adinda Syaudagar Pariya Tambi yang da’if barang disampaikan Allah kiranya ke hadrat kekanda Nakhoda Saifuddin yang ada dengan istirahat al-khair di negeri Kedah Darul Aman barang dipanjangkan Allah umur zamannya fi ta’at al-Rahman dan dipelihara Allah min afat al-zaman bi jah Saidina Muhamad Sayyid al-ins wa al-jan wa ba’dah barang
maklum kiranya hadrat kekanda maka daripada hal adinda berlayar daripada Pulau Pinang pergi ke Perak maka sampai ke Perak mudiklah adinda ke ulunya maka sampai adinda ke Ulu Perak itu berjalanlah adinda turun ke Ulu Pahang ada kira2 dua bulan di jalan dalam hutan rimba maka dengan tolong Allah sampailah adinda ke Pahang maka serta adinda sampai ke Pahang maka adinda menengarlah khabar kekanda itu Syaudagar Nasruddin sudah kembali ke rahmatullah maka serta adinda menengar khabar itu terbanglah arwah adinda daripada sangat percintaan dan kedukaan maka apa boleh buat sudah untung nasib demikianlah sudah takdir Allah melakukan atas hambaNya melainkan berkata adinda qalu inna lillah wa inna ilayhi raji’un maka berlayarlah adinda dari Pahang ke Terengganu maka sampailah adinda ke Terengganu pada empat belas haribulan Syaaban maka serta sampai ke Terengganu bertambah2 lah percintaan adinda melihatkan segala anak2 kekanda itu sudah jadi yatim dan melihatkan rumah tangga kampung laman habis tiada berketahuan maka segala harga benda pun habis diungkah orang bawa masuk ke dalam dan pakaian anak2 kekanda pun habis diambil orang bawa masuk ke dalam dan segala anak2 kunci pun habis di dalam maka sampai adinda pun tiadalah dipulangkan orang sesuatu pun kepada adinda hingga Yang Dipertuan suruhkan adinda berniaga jual beli tetapi barang sesuatu dagangan hendak dikeluarkan dari gudang pergi beri tahu ke dalam maka datang orang dari dalam membawa anak kunci membuka gudang demikianlah hal kedudukan ini maka besar kampuh punya pekerjaan pun hendaklah maklumkan Yang Dipertuan Besar dan Yang Dipertuan Muda dahulu maka jadi demikianlah halnya sekarang ini maka daripada hal adinda pun tiadalah tamak lagi akan harta rahimullah kekanda itu kerana nyawanya itu besar daripada hartanya maka sekarang nyawanya sudah hilang apa lagi hartanya maka hal adinda dibuat orang antara percaya dengan tiada maka adinda pun duduklah juga berkerja apa boleh buat lagi sudah untung demikian itu tetapi Insya Allah Ta’ala pada musim ini adinda memohon juga ke bawah Duli Yang Dipertuan hendak pulang ke Kedah mengadap qadam bonda dan kekanda sekalian jikalau bagaimana pun adinda pulang juga demikianlah hajat adinda jikalau disampaikan Allah sebermula daripada hal pekerjaan harta kita di Pulau Pinang itu hendaklah hadrat kekanda muafakat dengan Dato’ Gurnador baik2 maka adalah dapat surat bahasa Inggeris daripada hal Kapitan Karnigi membawa kiriman kekanda Syaudagar Nasruddin tahun dahulu rial lima belas ribu rial dan opiun dua puluh lima peti dan tembakau Cina empat puluh keranjang maka tersebut dalam surat itu dibaca oleh Kapitan Laid rahimallah kekanda berkirim kepada Dato’ Gurnador maka pada pendapat adinda hendaklah kekanda muafakat dengan Dato’ Gurnador minta katakan rial dan opiun dan tembakau Cina pembayar utang kepada Dato’ Gurnador kerana dalam surat tiadalah tentu hingga kiriman sahaja maka bolehlah dikatakan kekanda itu Syaudagar Nasruddin bayarkan utangnya kepada Dato’ Gurnador dan lagi seperti lada empat ribu pikul yang dibawa Kapitan Long itu maka itupun tiadalah orang ketahui bagaimana fasalnya harta itu maka itupun hendaklah hadrat kekanda muafakat dengan Dato’ Gurnador minta tolong ikhtiarkan bagaimana patutnya dan seperti perkiraan Mister Firli itu dengan kekanda Syaudagar Nasruddin tiadalah orang ketahui segala2
[Di belakang surat]
Maka sekalian itu dahulu Allah wa ba’da RasuNya melainkan penolong Dato’ Gurnador maka dapat serta dengan belas kasihannya akan anak2 yatim ini jikalau tiada Dato’ Gurnador tolong sekali ini neshcaya jadi hairanlah segala anak2 kekanda itu serta dengan adinda melainkan harapkan penolong Dato’ Gurnador duduk adinda maka hendaklah hadrat kekanda minta tolong kasihani kepada Dato’ Gurnador ikhtiarkan sekalian perkara itu maka selama adinda sampai adinda hendak beri pergi surat jalan darat pun gaduh Siam dan jalan laut pun tiadalah siapa pergi sebab itulah tiada adinda beri pergi surat maka surat ini akan hadrat kekanda dan akan qadam bonda satu melainkan hendaklah qadam bonda minta doa akan adinda banyak2 mudah mudahan disampaikan Allah dengan segeranya mengadap qadam bonda itu dan lagi hendaklah kekanda sampaikan sembah takzim adinda kepada kekanda Aisyah Ma dan salam doa adinda kepada adinda Zainab Nacar dan peluk cium adinda kepada anakanda itu Yunus serta dengan kakaknya dan sampaikan salam takzim adinda kepada sekalian ibu bapa tuha muda dan sembah takzim adinda itu Salahuddin dan adinda Madar dan anakanda Syeikh Hasan ke bawah qadam bonda dan kekanda sekalian wa al-salam dan surat ini kekanda sahaja lihat jangan diberi orang lain lihat adanya dan sembah takzim anakanda Mahyuddin dan anakanda Zainab dan Ibrahim dan Aisyah dan Abdul Rahman dan Khadijah maka sekalian anak2 kekanda itu sembah takzim ke bawah qadam bonda dan kekanda sekalian diperbuat surat pada sembilan likur haribulan Muharam pada sanah 1207
dan hendaklah sampaikan sembah takzim adinda kepada bondanya kekanda itu Bib dan salam takzim adinda kepada kekanda Bib dan salam doa peluk cium adinda kepada anakanda itu mana cari adanya
No comments:
Post a Comment