Qawluhu al-Haqq wa Kalamuhu al-Sidq
Warkah al-ikhlas yang terbit daripada putih hati serta tulus ihlas yang dipeserta pula adanya dengan beberapa hormat atas membesarkan dan memuliakan daripada Paduka Sultan Ratu Seri Ingalaga yang kerajaan dalam negeri Jambi barang disampaikan Tuhan yang menjadikan sekalian mumkinat apalah kiranya datang kehadapan tahta majlis sahabatnya iaitu Gurnador yang ‘ala al-dawam duduk dengan istirahat al-khair di atas kota Pula Pinang itu telah masyhulah dengan warta yang ihsan serta melakukan tadbir dan perintah yang sempurna khair wa solah lagi kepujian pada hal menolongi sekalian sahabatnya dan handai taulannya yang qarib dan ba’id istimewa pula atas sekalian dagang yang bernaung di bawah kebesarannya dan kemuliaannya syahadan maka dipohonkan pula atasnya barang lanjut usia umur zamannya dalam sihat dan afiat dalam jinis kebajikan dan kesentosyaan serta bertambah2 pangkat dan darjatnya yang tera’la adanya wa ba’dah
kemudian dari itu barang maklum kiranya Gurnador bahawa surat al-ihlas wa tuhfat al-ajnas yang dibawa Nahoda Basir itu sampailah dengan sempurnanya pada hari yang mukhtar dan waktu yang abrar kepada Seri Sultan maka disambut dengan tangan bihal al-tashrif serta dengan beberapa kesukaian dan keramanaian serta dibuka daripada lipatannya yang hanif lalu dibaca barang kalam dan maksud Gurnador itu mafhumlah Seri Sultan daripada hal menyatakan tulus ihlas suka sahabat bersahabat dengan Seri Sultan Jambi maka peri hal yang demikian itu terlebih suka pula Seri Sultan sahabat bersahabat dengan Gurnador sekali kehendak Gurnador sepuluh kali kehendak Seri Sultan sudah berapa lamanya tiada perkenankan oleh Kompeni Belandawi tiada tempat orang Jambi bernaung dan jikalau ada suka Gurnador jualah yang diharap harap oleh Seri Sultan adanya tambahan daripada itu peri hal perniagaan yang dikhabarkan Nahoda Basir seperti timah dengan seboleh bolehnya Seri Sultan tolong membicarakannya dan dari hal lada itu lagi dititahkan Seri Sultan kepada orang2 akan membaiki pulang berkebun lada itu sebab belum diperbaiki selama ini kerana Jambi tiada lagi dipergunakan oleh kompeni sekarang sudah berguna Gunador suka bersahabat dengan seboleh bolehnya dikerjakan oranglah akan berkebun lada itu adanya maka suatupun tiada tanda sahabat bersahabat hanyalah lilin satu bata tamat al-kalam bi al-hair wa salam
Tersurat kepada hari Ahad kepada sembilan hari bulan Zulkaedah waktu pukul dua setengah sanat 1203
No comments:
Post a Comment