al-Shams wa al-Qamar al-Nujum
Bahawa ini warkah al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit daripada mirat al-qulub iaitu daripada sahabatnya yang bersetiawan paduka Seri Sultan Zainal Abidin ibn al-Sultan Mansur yang di atas tahta kerajaan negeri Terengganu dengan segala daerah takluknya barang disampaikan Tuhan Allah apalah kiranya kepada saudara kita dan sahabat kita dan kekasih kita iaitu Gurnador Pulau Pinang yang memegang perintah dan tadbir kompeni Inggeris di dalam bandar Pulau Pinang barang bertambah2 kebesaran dan kemuliaannya serta beroleh umur lanjut di dalam dunia dan ialah yang sangat arif dan bijaksana pada hal melakukan berkasih kasihan dengan segala sahabatnya dan Orang Besar2 maka dipinta barang selamat sempurna dan istirahat dan afiat daripada segala mara bahayanya di dalam dunia selagi ada hayat zamannya wa ba’dah
daripada itu maka adalah kita menyuruh Muhamad mengadap saudara kita bersama2 Saudagar Parya Tambi maka dahulu Allah ba’da RasulNya telah harablah kita akan penolong saudara kita pada hal barang suatu hal ahwalnya dan kesakitan dan kesukarannya daripada jual belinya maka sekaliannya itu hendaklah saudara kita tolong akan dia sebermula maka adalah kita minta tolong kepada saudara kita akan jadi tali perhubungan antara kita dengan saudara kita maka kita minta tolong kepada saudara kita berutang opiun barang lima belas peti akan hal harganya kita bayar lada di Terengganu kepada barang siapa wakil saudara kita menyuruh mari ke Terengganu serta membawa surat saudara kita menerima lada itu melainkan kita bayarlah maka daripada hal harga opiun itu bagaimana kita ambil kepada Kapitan Karnigi harganya kepada sepeti dua puluh tiga pikul lada demikianlah kita minta kepada saudara kita harganya maka daripada hal opiun itu hendaklah saudara kita berikan kepada Muhamad dan Saudagar Parya Tambi ahwal itulah kita nyatakan kepada saudara kita maka tiada suatu cendamata hanyalah gading sepasang dan Kain Besar sehelai tiadalah sepertinya hanyalah seperti setangkai bunga jua adanya tamat al-kalam perbuat surat kepada sepuluh hari bulan Rabiul Akhir kepada hari Ahad waktu dhuha sanat 1207 sebagai lagi jikalau ada jahat maksud saudara kita di dalam Terengganu hendaklah saudara kita menyuruh orang mari dengan seboleh bolehnya kita tolong dan lagi jangan kiranya berputusan saudara kita menyuruh orang mari ke Terengganu kerana ke Terengganu dan Pulau Pinang boleh jadi suatu hamparan tamat
No comments:
Post a Comment