Qawluhu al-Haqq
Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit daripada fuad al-zakiah iaitu daripada Paduka Seri ayahanda Seri al-Sultan Mansur Ri’ayat Shah ibn al-Marhum al-Sultan Zainal al-‘Abidin yang di atas tahta kerajaan negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Khaliq al-‘Alam apalah kiranya kepada pihak sahabat kita dan kekasih kita iaitu anak kita Gurnador yang ada dengan istirahat al-khair serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah kantor kompeni Pulau Pinang dan ialah yang masyhur wartanya pada sekalian buldan pada hal mempunyai perangai yang lemah lembut dan terlalu arif pada hal melakukan berkasih kasihan tolong menolong pada sekalian sahabatnya Raja2 dan Orang Besar2 di bawah angin ini maka jadi masyhurlah wartanya pada sekalian buldan pada hal gagah perkasa pada medan peperangan dan lagi maha bijaksana pada hal melimpahkan ihsannya kepada sekalian dagang fakir dan miskin dalam bandarnya maka barang ditambah Allah kebesarannya dan kemuliaannya selama ada peredaran matahari dan bulan dan barang dilanjutkan Allah umur usianya dan barang dianugerah Allah selamat sempurna serta sihat dan afiat daripada segala mara bahaya dunia selagi ada hayat zamannya serta melakukan perintah khair dan solah lagi memberi manfaat faedah atas sekalian sahabatnya Raja2 timur ini maka barang dikekalkan Allah kerajaannya dengan kesenangan ‘ala al-dawam ma damat al-layali wa al-ayyam wa ba’dah
barang mafhum kiranya sahabat kita dan anak kita maka adalah Seri Paduka ayahanda melayangkan sekeping kertas pada pihak anak kita peri menyatakan tulus dan ikhlas serta mentakidkan rabitat al-mahabbah barang dikekalkan Allah kiranya pertambatan persatuan antara kedua buldan serta tolong menolong menyampaikan barang sesuatu hajat maksud di antara kedua amkan dan suruh bersuruhan yang tiada berkeputusan syahdan maka adalah Seri Paduka ayahanda menyuruh Syaudagar Nasruddin mengadap anak kita menyelesaikan perkiraan Kapitan Glas maka hendaklah anak kita tolong selesaikan perkiraan itu adanya sebagai lagi Seri Paduka ayahanda minta tolong kepada anak kita minta baikikan kici yang dibawa Syaudagar Nasruddin itu buatkan kulimat dua lapis sebermula daripada hal maksud kita sekalian telah maklumlah kepada anak kita maka daripada hal Syaudagar Nasruddin dahulu Allah wa ba’da RasulNya telah haraplah Seri Paduka ayahanda akan penolong anak kita pada barang sesuatu ahwalnya dan kesakitan kesukarannya ahwal itulah kita nyatakan maka tiadalah sesuatu cenderamata hanyalah kain besar sehelai tiadalah sepertinya hanyalah seperti bunga setangkai jua adanya tamat al-kalam diperbuat surat ini pada tiga belas hari bulan Jamadil Awal pada hari Selasa pada waktu dhuha jam pukul sembilan pada sanah 1204
No comments:
Post a Comment