Al-Mustahaqq
Surat kasih sayang serta tulus ikhlas yang tiada berkesudahan daripada beta sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang
bahawa adalah datang surat dari benua Siam sampai mari pada beta maka tersebut di dalamnya suruh beta siap perahu tengah dua ratus dan rakyat lima ribu dengan alat senjata suruh pergi bertunggu negeri Salang serta suruh beta beli beras lima ratus koyan hantar pergi ke Salang juga maka dalam beta duduk muafakat dengan menteri pegawai hendak beri surat nyatakan pada sahabat beta seperti kehendak Siam itu maka datang pula khabar negeri Senggora sudah alah dilanggar perompak dari laut maka Raja Senggora pun sudah lari maka inilah beta nyatakan pada sahabat beta perintah rupa kehendak Siam dan perintah negeri Senggora itu apa yang baik bicara sahabat beta pinta sahabat beta nyatakan mari tanda muafakat barang yang patut boleh kita kerjakan dari awal maka beta ini kekurangan senjata dari dahulu pun sudah beta pinta tolong pada sahabat beta meriam kecil barang dua ratus dan senapang barang tiga ribu serta dengan ubatnya maka perintah seperti kehendak Siam ini sudah beta buat surat suruh pergi hantar pada Saudagar Mirangkandu sampaikan pada sahabat beta maka Saudagar Mirangkandu sudah sampai mari jadi bersiap di jalan maka inilah beta suruh Saudagar Mirangkandu balik pergi pada sahabat beta jika boleh pinta sahabat beta serahkan pada saudagar ini boleh dibawanya segera sampai pada beta itulah beta nyatakan pergi pada sahabat beta pergi surat pada hari Arba’ dua likur bulan Ramadhan tamat
No comments:
Post a Comment