Monday, October 29, 2018

Sultan Ibrahim Selangor kepada Francis Light (MS 40320/4, f.43) berkaitan kici, timah dan pembelian meriam (18 Rabiul Awal, Isnin)

Al-Shams wa al-Qamar

Bahawa inilah surat tulus serta ikhlas suci putih hati iaitu dariapda khadrat  Maulana Paduka Seri Sultan Ibrahim khalifah al-mukminin yang semayam di atas tahta singgasana  kerajaan di dalam bandar negeri Selangor Darul Khusus barang disampaikan Tuhan semesta sekalian alam apalah kiranya kepada sahabat kita Gubernur yang memerintahkan kota Pulau Pinang yang amat setiawan antara sahabat bersahabat maka masyhurlah warta ihsannya kepada tiap2 negeri yang lain wa ba’du 



kemudian daripada itu akan hal seperti warkah al-ikhlas daripada sahabat kita yang dibawa oleh Kapitan Glass  itu telah fahamlah kita maka tersebutlah di dalamnya menghendaki kapal Keling yang di dalam Selangor maka sekarang sudahlah disuruh Raja Melaka dengan sebuah kici datang ke Selangor mengambil kici Keling itu katanya kepada kita banyak harta orang Melaka di dalam kapal Keling itu sudahlah kita khabarkan kepada dianya ada surat sahabat kita dari Pulau Pinang menghendaki kapal Keling ini jawabnya orang Melaka jikalau Inggeris mengendaki  kapal Keling itu suruh ambil ke Melaka apa dia peduli sama kapal Keling itu jawab kita baiklah asal jangan kita keberatan kemudian harinya sebagai lagi seperti orang2 kita yang di dalam Kedah apabila tiada ia mau  memulangkan atau tiada ia mau  membayar dengan rial melainkan sahabat kita diamlah di sana pun jangan dimasuki di sini pun dimasuki sebagai lagi ada dahulu dibawa Nakhoda Sembawa timah kita empat belas bahara lima puluh delapan kati sebagai lagi kita pinta kepada sahabat kita meriam penembak anggur barang dua pasang berat pelurunya delapan belas pot  dan bom barang dua pasang jikalau tiada sahabat kita jual pun melainkan kita pinjam dahulu kepada sahabat kita kerana negeri banyak susah2 intaha al-kalam bi al-khair wa al-salam tersurat delapan belas hari bulan Rabiul Awal hari Isnin

No comments:

Post a Comment