Monday, October 22, 2018

Surat daripada Nakhoda Po Kuala negeri Pasangan (MS40320/4, f.6) kepada Francis Light berkaitan masalah hutang

Ya Miftah al-Qulub

Ini surat serta tulus dan ikhlas serta suci hati yang tiada tirai dan hijab dalamnya iaitu daripada Nakhoda Po Kuala yang ada sekarang di dalam negeri Pasangan yang miskin lagi gharib bertambah2 dengan daif barang diwasilkan Tuhan Hannan al-Mannan jua kiranya kepada pangkat yang halim dan yang karim iaitu Datuk Komandur yang ada sekarang istirehat dan afiat di dalam daerah Pulau Pinang tempat persandaran segala hamba Allah yang kesakitan adam Allah hayatuha ma’a khair al-dunya a’maluha wa maqsuduha wa razaqaha min al-jalal barang dawam kiranya di dalam bandar izam yang muazzam al-masyhur fi al-dar yang kepujian pada mendirikan panji2 adilnya atas segala hamba Allah daripada fakir dan miskin dan menolongi segala yang teraniayai dan yang telah dikurniai Allah pangkat dan darjat pada melimpahkan kemurahan dan barang dilanjutkan Allah Subhanah wa taala umur matinya di dalam alam dunia ini dan barang dipeliharakan Tuhan Jalil al-Jabbar jua kiranya daripada segala mara bahaya seterunya serta bertambah2 izzah dan saadah dan sejahtera atasnya amin2 Allahumma amin syahadan amma ba’d 



ada pun kemudian dari itu barang diketahui oleh Datuk Komandur harap akan Allah wa ba’d al-rasul kemudiannya harap hamba sangat2 akan Datuk Komandur dan Kapitan Uskut  akan sekarang hamba Datuk mengadukan hal ehwal hamba tatkala hamba di Pulau Pinang ada hamba mengambil daripada Kapitan Uskut dagangan sedikit2 perjanjian disuruh kapal mengambil piutang hamba itu ke Pasangan maka hamba nanti2 tiada sampai di dalam itu datang Kapitan Lisban  ke Teluk Semawi maka hamba pun sampailah ke Teluk Semawi membawak sedikit banyak lada maka hamba jualkan akan Kapitan Lisban maka kata hamba kepada Kapitan Lisban tuan nanti hamba hendak kirim pinang akan babat hutang hamba kepada Kapitan Uskut  di dalam itu sampailah Kapitan Yu diparangnya Teluk Semawi jadi haru birulah maka berlayarlah Kapitan Lisban bersama2 dengan Kapitan Yu maka lalu hamba perikut sampai ke Tedor tiadalah hamba bertemu akan sekarang pun hamba hendak pulang ke Pulau Pinang tiadalah jadi dengan kerana sebab hutang hamba kepada Datuk belum lagi selesai jadi malulah rasanya hamba memandang mata Datuk akan sekarang jikalau ada rahman rahim daripada Datuk barang sampailah penyuruh daripada Datuk itu ke Pasangan mengambil piutang hamba kerana sebab sudah janji hamba dengan Kapitan Uskut  diberi kapal disuruh ambil piutang hamba itu demikianlah sebagai lagi barang tahu Datuk harap hamba akan Allah wa ba’d al-rasul kemudiannya harap hamba sangat2 akan Datuk akan rumah tangga dan kampung halaman sekaliannya rendah gunung tingginya harap hamba kepada Datuk kepada sekalian perkaranya suatu pun tiada alamat al-hayat wa al-mahabbah hanya sehelai kain palang  rusa akan jadi basahan2 Datuk itulah tamat al-kalam bi al-khairi wa al-salam wa katibuhu Mualim Abdul Gharib

No comments:

Post a Comment