Al-Mustahaqqah
Surat tulus ikhlas yang sudi daripada perhamba Seri Maharaja Dewa kepada Tuan Gurnador Pulau Pinang arif lagi bijaksana telah masyhur sampai ke mana mana
ahwal akan surat Tuan Gurnador beri mari pada Kapitan Belayit itu telah sampailah pada perhamba dengan purnanya maka surat itu sudahlah perhamba maklumkan pada ke bawah Duli Yang Dipertuan maka keluar titah suruh Dato` Laksamana tolong segerakan muat beras empat lima koyan itu dahulu hantar ke kapal jangan beri lama jadi kesakitan orang Pulau Pinang maka oleh kapitan itu tiada mau nanti barang empat lima hari terima beras itu dan balas surat pun tiada berdan ia berlayar pergi maka tersebut dalam surat Tuan Gurnador itu kata beta ini musuhkah maka tiada siapa mau bawa beras ke Pulau Pinang sebulan sudah lamanya itu maka tiadalah perhamba ketahui perintah orang bawa beras pergi berjual beli maka yang perhamba ketahui ini dengan sebab hujan besar tiada berhenti di dalam orang duduk bekerja tanam padi di dalam itu pun ada sedikit banyak orang kisar dan tumbuk beras barang kadarnya bawa berjual sebelah ke darat orang Patani dan orang Siam banyak kelaparan pada tahun ini dibelinya lima gantang enam gantang pada serial orang membeli makan jadilah tiada suka orang bawa beras berjual sebelah ke laut di dalam itu pun orang berkehendak sangat sedikit banyak dibeli juga dengan harga dua gantang dan sembilan cupak pada sekupang serta dibayar hasil adat selamanya dibawa pergi sebelah ke laut berjual beras itu maka Pulau Pinang itu negeri Yang Dipertuan bukannya negeri asing akan beras Yang Dipertuan dihantar Tengku Long anak Tengku Awi itu maka sekarang lebih sebulan sudah Tengku Awi duduk sakit sebab itu jadilah Tengku Long tiada boleh tinggal maka dengan tolong Tuhan seru alam ada dapat sedikit boleh berjalan maka titah Yang Dipertuan hendak disuruh hantar beras itu dalam duduk bicarakan diberi pergi ke Pulau Pinang maka akan hutang perhamba beras kurang lima puluh gantang dua koyan itu perhamba beri pergi pada Hasan Kandu pinta Tuan Gurnador suruh terima ambil cukuplah sudah lima puluh koyan menurut daftar sudahlah selesai beras itu ahwal itulah perhamba nyatakan perbuat surat hari Isnin dulapan haribulan Safar sanah 1202 tahun Dal Awal tamat
No comments:
Post a Comment