Ya Khaliq al-Nahar wa al-Lail
Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang dihiasi dengan beberapa madah dan thana serta tulus dan ikhlas yang tiada berhingga iaitu daripada hamba Dato’ Syaudagar Nasruddin yang ada terqawaf di negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Rab al-Anam apalah kiranya kepada pihak hadrat Dato’ Gurnador yang ada dengan istirahat al-khair serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah Pulau Pinang maka masyhurlah wartanya pada sekalian buldan pada hal mempunyai perangai yang lemah lembut serta terlalu arif pada hal melakukan berkasih kasihan tolong menolong pada sekalian dagang qarib dan ba’id dan barang ditambah Allah kebesarannya dan kemuliaannya selama ada hayat zamannya wa ba’dah
barang maklum kiranya Dato’ maka daripada hal Kapitan Danlap ini Dato’ kata dianya ada orang baik sungguh ada ia orang baik tetapi perangainya itu bukan perangai orang baik kain pakainya pun tiada ia percaya dan tiadalah seseorang manusia yang dipercayainya dan akan Mister Kart pun tiada ia percaya katanya dianya orang jahat dan lagi katanya dianya mencuri maka akan hal Mister Kart itu ada orang baik tahu akan adat Melayu dan akal pun baik sungguh pun dianya budak akalnya tuha dan tahu ia berbicara dan jika tiada Mister Kart Dato’ beri mari bersama2 maka tiadalah jadi sekalian pekerjaan kapitan ini maka barang ajar Mister Kart tiada diikutnya oleh kapitan dan lagi akan hamba Dato’ pun tiadalah kapitan itu percaya maka adalah ia kirim taruh guni dalam gudang hamba Dato’ maka tiba2 katanya guninya hilang setengah maka diperiksanya segala gudang hamba Dato’ dan lagi dianya taruh lada dalam bilik tempat tidurnya disuruh kelasinya tunggu jaga dalam kampung hamba Dato’ maka pintu kampung terkunci malam itupun maka tiba2 katanya hilang ladanya tiga puluh guni dan lagi sudunya perak hilang di kapal itupun datang ia periksa kepada hamba Dato’ maka sekalian itu hamba Dato’ sabarkan sebab malu akan Dato’ dan akan Mister Firli dan jika lain daripada kapitan ini merasalah ia dan kapitan ini tiada tahu adat Melayu segala2 maka seperti lada yang mengangkat orang hamba Dato’ membawa ke laut mengantarkan ke kapal dalam sehari lima enam buah payang jikalau dianya sahaja dua tiga bulan pun tiadalah selesai maka akan hal kapitan ini dianya ada orang baik juga jikalau Dato’ hendak menyuruh lagi hendaklah Dato’ ajar akan dia baik2 adanya sebermula adalah hamba Dato’ ambil opiun kepada Kapitan Danlap dua puluh lima peti harganya tengah dulapan ribu rial maka perjanjian hamba Dato’ dengan Kapitan Danlap harga opiun itu terima kepada Mister Firli dalam harta hamba Dato’ yang kepada Mister Firli maka barang yang lebih itu minta Dato’ beri pergi surat kepada Mister Firli maka akan harta itu hamba Dato’ hendak terima di Pulau Pinang kepada Dato’ maka Dato’ terima ambil adanya sebagai lagi hamba Dato’ minta tolong kepada Dato’ beri pergi surat kepada Mister Firli minta tolong bicarakan daripada hal harta hamba Dato’ kepada Kapitan Camnan itu minta Mister Firli terima ambil maka harta itupun hamba Dato’ hendak terima di Pulau Pinang juga minta Dato’ terima ambil dan seperti sendawa dan besi dan meriam yang kepada Kapitan Camnan itu hendaklah Mister Firli terima ambil kepada Kapitan Camnan muatkan di kapal Mister Firli beri mari ke Pulau Pinang atau ke Terengganu adanya dan sebagai lagi jikalau suka Dato’ dan jikalau boleh Dato’ beri pergi surat kepada Mister Firli minta bicarakan beli kapal Kapitan Camnan dan jikalau jadi beli kapal itu bersyarikat hamba Dato’ dan dengan Dato’ dan Mister Firli dan jikalau boleh Kapitan Camnan pun masuk bersama2 maka daripada hal Dato’ jikalau Dato’ masuk sebahagi pun hamba Dato’ suka dan seperti bahagian hamba Dato’ harga kapal itu sampai ke Terengganu hamba Dato’ bayar adanya maka apabila boleh kapal itu akan hal Kapitan Camnan hamba Dato’ kehendaki maka sebab hamba Dato’ kehendaki Kapitan Camnan bersama2 itu kerana dianya tahu adat Melayu dan hamba Dato’ pun sudah biasa dengan dia maka apabila kapitan yang tahu adat Melayu Insya Allah Ta’ala mudahlah hamba Dato’ bicarakannya boleh cari jalan untung besar adanya dan jikalau kapitan yang tiada tahu adat Melayu susah besar hamba Dato’ bicarakannya dan daripada hal Kapitan Camnan jika tiada boleh bersama2 melainkan mana kapitan yang tahu adat Melayu sedikit2 hamba Dato’ suka juga tetapi Kapitan Camnan juga jika boleh hamba Dato’ kehendaki adanya dan seperkara lagi daripada hal segala dagangan yang hamba Dato’ kehendaki itu sudah hamba Dato’ perbuat daftar beri kepada Kapitan Danlap dan jikalau tiada jadi beli kapal pun melainkan hendaklah Mister Firli beri mari dagangan seperti dalam daftar hamba Dato’ itu boleh hamba Dato’ bayar bagaimana yang telah sudah dalam seratus tiga puluh adanya dan jikalau bersyarikat maka akan bahagian hamba Dato’ itu hendaklah Mister Firli masukkan dalam sekoran dan seperkara lagi seperti rial yang empat laksa itu sudahlah hamba Dato’ bayar lada kepada Kapitan Danlap dua ribu tujuh ratus lima puluh dulapan pikul enam puluh dua kati maka sudahlah selesai adanya maka daripada hal kain itam dan kain cat itu tiadalah boleh hamba Dato’ bayar dalam seratus tiga puluh kerana sebab hamba Dato’ tiada boleh bayar dalam seratus tiga puluh itu maka sangatlah mahal harganya maka hendaklah Dato’ beri surat kepada Mister Firli nyatakan tetapi sekarang hamba Dato’ bayar genap adanya dan seperkara lagi daripada hal lebih ambilan Kapitan Danlap selaksa dua ribu seratus dua belas rial dua suku setali maka rial perjanjian terima di Pulau Pinang dan lagi hamba Dato’ beri pergi mata rial kepada Kapitan Danlap dulapan ribu rial mintalah Dato’ terima ambil taruh sementara Nakhoda Bawa sampai apabila Nakhoda Bawa sampai bolehlah Dato’ berikan akan dia sekalian rial itu kerana hamba Dato’ menyuruh kici pergi ke negeri Keling boleh ia membeli dagangan mana yang patut ke negeri Keling jikalau tiada cukup modal hendaklah tolong Dato’ akan Nakhoda Bawa maka apabila Dato’ tolong beberapa banyak hendaklah Dato’ beri mari surat boleh hamba Dato’ bayar adanya dan serta Dato’ tolong akan Nakhoda Bawa pada barang sesuatu pekerjaannya suruh dianya berlayar dengan segeranya pada awal musim sebermula jikalau jadi Mister Firli beli kapal bersyarikat mengantar dagangan maka hamba berjanji dengan Kapitan Danlap apabila sampai ke Pulau Pinang boleh pergi timur bersama2 saudara hamba Dato’ Nakhoda Paria Tambi maka dari timur boleh pulang ke Terengganu bermuat lada balik ke Benggala jikalau tiada jadi beli kapal maka hendaklah Dato’ tolong mana kapal yang dahulu hendak berlayar ke Terengganu maka Dato’ panggil saudara hamba Dato’ itu Nakhoda Paria Tambi beri mari dalam kapal itu dengan segeranya telah haraplah hamba Dato’ akan penolong mengantarkan syaudara hamba Dato’ pada awal musim adanya maka apabila saudara hamba Dato’ sampai segala khabar dan pesanan boleh Dato’ periksa kepadanya ahwal itulah hamba Dato’ maklumkan tamat al-kalam diperbuat surat ini pada tiga haribulan Safar pada hari Selasa pada sanah 1205
No comments:
Post a Comment