Thursday, June 25, 2020

Surat Sultan Terengganu kepada Francis Light (MS 40320/11, f.71) berkaitan perdagangan timah dan lada serta serangan dari Siak (Khamis 14 Zulkaedah 1203 / 6 Ogos 1789)

Qawluhu al-Haqq

Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas iaitu daripada Seri Paduka ayahanda Yang Dipertuan Besar yang di atas tahta  kerajaan negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan khaliq al-‘alam apalah kiranya kepada pihak sahabat dan kekasih kita iaitu anak kita Gurnador Pulau Pinang yang ada istiqam serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah kantor kompeni Inggeris Pulau Pinang maka masyhurlah wartanya di atas angin dan di bawah pada hal gagah perkasa pada medan peperangan dan lagi terlalu arif pada hal memerintahkan pekerjaan sahabat dan taulannya di bawah angin dan lagi teguh setianya serta mempunyai perangai yang lemah lembut dan maha bijaksana pada hal melakukan berkasih kasihan tolong menolong pada sekalian sahabatnya dan barang ditambah Tuhan Allah pangkat darjatnya serta beroleh kebesaran dan kemuliaan selagi ada cakerawala matahari dan bulan dan dipanjangkan Allah umur usianya dalam dunia dan diselamatkan Allah daripada sekalian mara bahaya selagi ada hayat zamannya wa ba’dah


barang mafhum kiranya sahabat kita dan anak kita maka daripada hal warkah yang anak kita beri mari kepada Kapitan Hamatan  itu telah sampailah kepada kita pada saat yang mulia dan pada ketika yang ria maka kita sambutlah dengan beberapa kesukaan dan keredhaan maka serta terfatah  daripada meteri lafifahnya  maka berhamburlah kalam dan nizam maka fahamlah kita barang yang termazkur dalamnya maka daripada hal dagangan yang anak kita beri mari kepada Kapitan Hamatan itu telah sampailah dengan selamat sejahteranya maka kita tolong mana sekuasa kita akan Kapitan Hamatan  dan daripada hal dagangannya pun kita ambil sudah maka daripada hal timah maka suruhan kita ke Palembang tiada datang lagi maka daripada hal lada mana sekadarnya sudah kita beri akan Kapitan Hamatan  adanya sebermula akan hal surat yang anak kita beri mari kemudian itu pun telah sampailah kepada kita maka tersebut dalamnya maka anak kita hendak pergi ke Benggala maka anak kita minta nyatakan daripada barang sesuatu maksud bicara kita maka daripada hal maksud kita sekaliannya telah nyatalah kepada anak kita maka sekarang Kapitan Glas  pun tiada melainkan anak kitalah yang kita harap dahulu Allah wa ba’d RasulNya pada barang sesuatu maksud kita dan kesakitan kesukaran kita di atas negeri kita maka kita hendak beri surat kepada Jenderal di Benggala pun tiada apa gunanya pada hemat kita terlebih baik anak kita daripada surat kita maka sekalian maksud kita telah nyatalah kepada anak kita melainkan mana ikhtiar anak kita barang yang patut minta anak kita bicarakan adanya maka daripada hal kita ini sangatlah susah kerana orang Siak hendak melanggar Terengganu maka kita hendak minta tolong kepada anak kita maka pada hemat kita tiadalah sempat maka sebolehnya2 kita bicarakan daripada orang Siak itu maka pada lima belas haribulan Zulkaedah ini maka kita keluarlah serta dengan sekalian kelengkapan kita mendapatkan orang Siak itu maka dianya duduk di Pulau Redang adanya kemudian daripada itu jikalau ada kasihan anak kita hendaklah anak kita suruh Jaga2 barang dua buah mari ke Terengganu pada tahun di hadapan pada bulan Rejab maka haraplah kita akan penolong anak kita sebagai lagi kita minta tolong kepada anak kita belikan belerang barang lima ratus pikul dan seperkara lagi daripada hal kici Kapitan Bik  bawa itu maka Kapitan Bik  pun sudah mati maka kici itu tinggal sahaja maka jadi kerugianlah kepada kita maka itulah kita minta tolong kepada anak kita jikalau ada bocornya anak kita tolong baiki serta anak kita muatkan belerang lima ratus pikul yang kita minta tolong belikan kepada anak kita dan lagi anak kita tolong antarkan  kici itu ke Terengganu serta dengan orang suruhan kita itu maka Allah Allah  telah haraplah kita akan penolong anak kita pada sekalian perkaranya maka sekalian khabar boleh anak kita periksa kepada suruhan kita itu Uwan  Muhamad adanya dan kita minta tolong kepada anak kita ubat bedil barang seratus tong dan peluru empat pin  lima pin enam pin barang seratus pikul maka sekalian itu hendaklah anak kita muatkan di kici itu juga antarkan  mari dan lagi seperti suruhan kita Uwan  Muhamad itu hendaklah anak kita tolong akan dia barang kekurangannya kerana tiadalah sesuatu kita beri pergi sebab gaduh ahwal itulah kita nyatakan kepada anak kita maka daripada hal ubat bedil dan peluru dan belerang itu telah sangatlah harap kita akan bolehnya intaha al-kalam maka tiadalah sesuatu tanda hayat hanya doa sahaja kerana dalam gaduh wa al-salam khatam diperbuat surat ini pada empat belas haribulan Zulkaedah pada hari Khamis pada waktu pukul sepuluh pada sanah 1203

No comments:

Post a Comment