Al-Shams wa al-qamar
Warqat al-mawjud dan hidayat al-mamdud maka dipesertakan dalamnya tulus dan ihlas serta suci putih hati iaitu daripada Yang Dipertuan Selangor yang semayam di atas singgasana kerajaan di dalam negeri Darul Khusus barang disampaikan Tuhan sarwa alam sekalian apalah kiranya kehadapan sahabat kita Senyo Gobernor Pulau Pinang yang mempunyai kebesaran dan perintah serta kemuliaan di dalam bandar negeri yang makmur dan lagi masyhur wartanya yang baik daripada sekalian sahabat handai yang qarib dan yang ba’id dan kemurahan pada mengembirakan senanhi dan ihsan lagi sangat mengasihan akan dagang yang miskin barang tetab kiranya sahabat kita di atas kebesaran dan kemuliaan dengan sempurna sejahtera adanya selagi ada peredaran matahari dan bulan dengan cahayanya jangan kiranya diberi berkeputusan kasih berkasihan pada antara kita kedua barang sentosa jua adanya wa ba’dahu
daripada itu barang istifham kiranya sahabat kita akan ahwal kita menyatakan kehadapan sahabat kita dari kepada perkara ada orang kita hendak pergi haji lima orang maka kita suruhkan ke Pulau Pinang mendapatkan sahabat kita melainkan kita minta tolong kepada sahabat kita jikalau ada kapal pergi ke Judah atau ke Muha kita minta tolong tumpangkan dia oleh sahabat kita seboleh bolehnya sahabat kita tolong akan kita menumpangkan dia itu jikalau tiada kapal pergi ke Judah dan ke Muha meski kapal pergi ke Koching pun sahabat kita tumpangkan juga jikalau kapal Inggeris maka harablah kita akan tolong daripada sahabat kita akan dia menumpangkan kepada kapal yang baik serta dengan kita minta peliharakan dia kepada sahabat kita baik2 sahadan jikalau sahabat kita tumpangkan dia melainkan sahabat kita hendaklah beri dengan tapak tangan daripada sahabat kita akan dia akan jadi tanda orang kita serta dengan tanda sahabat kita menolong dia barang di mana dia bertemu dengan orang Inggeris dapatlah ditolongnya akan dia daripada sebab tolong sahabat kita dilihatnya tanda tapak tangan daripada sahabat kita supaya segera dia daripada perjalannya kerana dia orang miskin jangan dia menawan segenap negeri kerana dia kekurangan daripada belanjanya intaha al-kalam tersurat kepada sehari bulan Jamadil Awal hari Selasa waktu zohor tarikh 1206
No comments:
Post a Comment