Qawluhu al-Haqq wa Kalamuhu al-Sidq
Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit daripada mirat al-qulub iaitu daripada Seri Paduka ayahanda Paduka Seri al-Sultan Mansur Riayat Shah ibn al-Marhum al-Sultan Zainal ‘Abidin yang di atas takhta kerajaan negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Rab al-Anam apalah kiranya kepada sahabat kita dan kekasih kita iaitu anak kita Gurnador Pulau Pinang yang memegang perintah dan tadbir dalam kantor kompeni barang ditambah Tuhan sarwa alam kebesarannya dan kemuliaannya supaya pernaungan segala gharib dan miskin dalam bandarnya maka masyhurlah wartanya di atas angin dan di bawah angin pada hal gagah perkasa di medan peperangan serta mempunyai perangai yang lemah lembut dan lagi terlalu arif dan bijaksana pada hal melakukan berkasih berkasihan serta tolong menolong pada sekalian sahabatnya Raja2 dan Orang Besar2 di bawah angin ini dan lagi amat setiawan serta melakukan tadbir perintah yang khair dan solah lagi memberi menfaat faedah atas sekalian sahabatnya Raja2 dan samanya2 Orang Besar2 maka dipintakan Tuhan Rab al-‘Ibad barang selamat sempurna serta istirahat dan afiat daripada segala mara bahaya dunia selagi ada hayat zamannya dan dilanjutkan Allah umur usianya serta dikekalkan Allah akan af’alnya yang kepujian itu selama ada cakerawala matahari dan bulan adanya ‘ala al-dawam wa ba’dah
barang mafhum kiranya anak kita akan hal surat yang anak kita ihtimalkan kepada Nakhoda Naina dan Hang Jalal itu telah sampailah pada saat yang mulia dan pada ketika yang hiba kepada seri paduka ayahanda maka seri paduka ayahanda pun sambutlah dengan beberapa hormat kebesaran istiadah negeri maka serta dibuka daripada meteri lafifahnya maka bercahaya2 hurufnya gilang gemilang seperti cahaya matahari dan bulan maka serta dibaca daripada awal satarnya hingga akhirnya maka fahamlah seri paduka ayahanda barang yang termazkur dalamnya daripada perkataan yang kebajikan serta memberi kesenangan kerajaan negeri itu maka sangatlah Seri Paduka ayahanda menerima kesukaan dan keredhaan akan kasih sayang anak kita kepada seri paduka ayahanda adanya syahadan maka adalah seri paduka ayahanda menyuruh Orang Kaya Seri Wangsa dan Syaudagar Nasruddin mengadap anak kita menyatakan daripada hal anak kita memberi surat akan Kapitan Glas suruh seri paduka ayahanda bicarakan daripada hal Siam itu dengan kebajikan maka seri paduka ayahanda pun bicarakanlah dengan beberapa jalan yang kebajikan dan serta dengan beberapa kerugian harta maka dalam itupun tiadalah disukainya juga oleh Siam itu melainkan dikehendakinya juga akan seri paduka ayahanda atau anak seri paduka ayahanda pergi mengadap dianya maka zaman berzaman turun temurun Raja Johor tiadalah penah mengadap Raja Siam hingga suruh menyuruh sahaja maka daripada jalan itu tiadalah sampai hemat Seri Paduka ayahanda pada hal mengadap Raja Siam itu maka ahwal inilah seri Paduka ayahanda nyatakan kepada anak kita akan kelakuan Siam itu dan lagi kata Siam jika tiada diturut seperti kehendaknya maka dianya hendak datang dalam bulan lima ini juga demikianlah kata Siam maka sekarang pun jika ada lagi kasih sayang anak kita hendak menolong kita maka hendaklah anak kita menyuruh Jaga2 barang dua buah datang pada bulan empat serta bawa bendera mari melihatkan hal negeri serta dengan Orang Besar barang sorang supaya boleh putus segala perkiraan barang sesuatu bicara pun boleh ditentukan dengan segeranya maka jangan Seri Paduka ayahanda jadi harap harapan sahaja dan lagi daripada hal jalan perniagaan kompeni itu jika ada perkiraan lagi boleh anak kita berbicara tentukan yang patut kepada anak kita serta dengan Orang Kaya Seri Wangsa dan Syaudagar Nasruddin dengan segeranya maka dahulu Allah wa ba’d rasulNya telah sangatlah harap seri paduka ayahanda akan penolong anak kita sampai Jaga2 dan bendera serta dengan orang besar barang sorang bersama2 anak kita itu Kapitan Glas datang pada bulan empat juga adanya maka tiadalah kita panjangkan kalam maka sekalian khabar dan pesanan boleh anak kita periksa kepada Orang Kaya Seri Wangsa dan Syaudagar Nasruddin adanya sebermula jikalau belum lagi datang khabar kepada anak kita daripada Jenderal Benggala maka jika sampai hemat anak kita hendak suruh pergi ke Benggala akan orang yang Seri Paduka ayahanda suruh ini pun baik tetapi hendaklah dengan penyuruh anak kita serta dengan orang anak kita pergi bersama2 ke Benggala dengan segeranya supaya boleh datang pada bulan empat ini juga ke Terengganu adanya maka pada hemat Seri Paduka ayahanda jikalau anak kita membicarakan pun memadailah kerana pekerjaan Seri Paduka ayahanda ini jika anak kita hendak tolong dengan sesungguhnya2 tiada beberapa besar perkiraan Seri Paduka ayahanda ini kepada anak kita adanya dan seperkara lagi Seri Paduka ayahanda nyatakan kepada anak kita daripada hal cucu Seri Paduka ayahanda iaitu Paduka Seri Sultan Mahmud maka ia datang ke Terengganu mendapatkan Seri Paduka ayahanda adanya maka inilah sekalian ahwal Seri Paduka ayahanda nyatakan kepada anak kita melainkan apa belas kasihan anak kita akan menolong Seri Paduka ayahanda maka hendaklah dengan segeranya adanya maka daripada hal harta anak kita itu Kapitan Glas yang ditinggalkannya kepada Seri Paduka ayahanda itu maka inilah Seri Paduka ayahanda beri pergi lada kepada Syaudagar Nasruddin hendaklah anak kita terima ambil maka daripada hal timah tiadalah sampai pada musim ini maka barang yang daripada harga lada maka hendaklah anak kita berkira2 ambil kepada Syaudagar Nasruddin adanya maka daripada hal beras hendaklah anak kita tolong akan Seri Paduka ayahanda barang seratus koyan lain daripada muatan selob yang tiga buah yang Seri Paduka ayahanda suruh ini maka sangatlah harap Seri Paduka ayahanda akan penolong anak kita daripada hal beras itu adanya tamat al-kalam maka tiadalah sesuatu cenderamata hanyalah kain besar sepasang tiadalah sepertinya hanyalah seperti bunga setangkai jua adanya diperbuat surat ini pada enam hari bulan Safar pada hari Jumaat pada waktu pukul sembilan pada sanah 1202
No comments:
Post a Comment