Al-Shams wa al-qamar wa al-nujum
Bahawa ini warkah al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit daripada fuad al-zakiah serta kasih sayang yang tiada berhingga iaitu daripada Seri Sultan Mansur ibn al-marhum al-Sultan Zainal Abidin yang di atas takhta kerajaan negeri Terengganu Dar al-Salam barang diwasilkan Tuhan Khaliq al-‘alam apalah kiranya kepada pihak kekasih kita dan sahabat kita iaitu anak kita Gurnador yang ada istiqam serta memegang perintah dan daerah bandar Pulau Pinang barang bertambah2 kebesarannya dan kemuliaannya dan dipanjangkan Allah umur usianya serta beroleh sihat dan afiat selagi ada hayat zamannya dan ialah yang mempunyai perangai yang lemah lembut serta terlalu arif pada hal memerintahkan khayr dan solah serta tolong menolong pada sekalian sahabatnya Orang Besar2 dan Raja2 barang dikekalkan Allah perangai yang demikian selama ada cakerawala matahari dan bulan wa ba’dahu
daripada itu barang mafhum kiranya anak kita dan sahabat kita maka adalah kita menyatakan kepada anak kita daripada hal Saudagar Nasruddin telah kembalilah ke ramatullah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa maka sebab kematiannya itu sudah kita beri pergi surat berjalan darat kepada pihak anak kita maka kita pun sangatlah jadi masyghul hati serta kesusahan dengan percintaannya sebab mati saudagar itu demikianlah sudah hal saudagar berlaku hukum Allah atasnya itulah kita nyatakan kepada pihak anak kita syahadan maka daripada hal anak kita janganlah diubahkan barang sesuatu pekerjaan bagaimana pada zaman saudagar demikianlah anak kita kerjakan serta tolong menolong antara kedua pihak pada barang sesuatu hajat maksud serta suruh bersuruhan tiada berkeputusan kerana Terengganu dan Pulau Pinang jadi satu maka daripada hal kita pun daripada zaman dahulu sampai sekarang sangatlah kita bersahabat2 dengan Kompeni Inggeris maka dipinta kepada Allah barang ditetapkan kiranya bersahabat2 tolong menolong hingga sampai kepada anak cucu kita sebermula adalah kita menyuruh Syaikh Muhamad dan Nakhoda Bawa dan Nakohda Sitam pergi ke Pulau Pinang mendapatkan anak kita serta membawa perahu kici dengan muatan serba sedikit maka dahulu Allah waba’da Rasulnya telah harablah kita akan penolong anak kita pada barang sesuatu hal ehwalnya dan kesakitan dan kesukarannya dan jual belinya pada segenap perkaranya melainkan kita harabkan penolong anak kita dan lagi anak kita tolong belikan ubat bedil yang baik barang dua ratus pikul beri mari dalam kici itu maka daripada hal suruhan kita itu pun Syaikh Muhamad dan Nakhoda Bawa dan Nakhoda Sitam itu hendaklah anak kita tolong pada barang sesuatu pekerjaannya disuruh dia berlayar dengan segeranya mari ke Terengganu jikalau boleh pada bulan Syaaban ini sampai ke Terengganu kerana hal negeri Terengganu ini duduk di dalam ketakutan daripada Siam apabila terbuka kuala adalah khabarnya Siam itu maka daripada hal Siam pada tahun ini adalah kita menghantarkan bunga emas maka tiadalah ia mau terima serta dikehendakinya yang tiada patut maka kita pun tiadalah terturut seperti maksud Siam itu melainkan kita serahkan kepada Allah semata2 mana yang diperintahkan inilah yang berlaku maka adalah kita mendengar khabar sedikit2 pada tahun ini Siam ini hendak melanggar Terengganu dengan Kelantan di dalam itu mana yang ditakdir Allah itulah yang jadi maka daripada hal anak kita hendaklah mendengar2kan khabar negeri Terengganu ini kerana kita dahulu Allah ba’da Rasulnya telah sangatlah harap kita akan penolong anak kita pada barang sesuatu kesakitan negeri Terengganu ini sebagai lagi daripada hal perkiraan bersyarikat Saudagar Nasruddin dengan anak kita dan dengan sahabat kita itu Kapitan Uskut daripada hal Kapitan Long membawa kapal serta dengan muatannya dagangan membalau dan belerang maka sekalian dagangan itu dipunggahkan oleh saudagar ke darat maka dimuatkan oleh saudagar dalam kapal Kapitan Long itu lada empat ribu pikul dan kapas dan rotan bawa pergi ke China serta Saudagar Nasruddin beri surat kepada saudagar di China maka daripada hal kapal Kapitan Long itu disuruhnya jual di China dengan harga dua puluh lima ribu rial jikalau tiada laku di China apabila ia sampai ke Pulau Pinang disuruhnya jualkan juga kapal Kapitan Long itu oleh saudagar kepada anak kita dan sahabat kita itu Kapitan Uskut maka sekarang hendaklah anak kita menyuruh orang yang kepercayaan kepada anak kita mari ke Terengganu serta membawa segala daftar perkiraan kapal Kapitan Long dengan muatannya yang dibawa ke China itu dan dagangan yang ditinggalkan Kapitan Long di Terengganu ini supaya boleh kita lihat dengan daftar Saudagar Nasruddin selesaikan segala perkiraan itu apabila sudah selesai segala perkiraan itu maka boleh kita muafakat pulak dengan anak kita pada jalan perniagaan bagaimana pada zaman Saudagar Nasruddin supaya jangan berkeputusan antara kita dengan anak kita dengan sebab itulah kita kehendaki anak kita beri mari orang yang tahu berbicara sebagai pula daripada hal pekerjaan Mister Firli dengan Saudagar Nasruddin serta dengan anak kita bersyarikat itu itu pun hendaklah anak kita beri mari daftarnya supaya boleh jelas segala perkiraan itu dan seperti utang Kapitan Camnan berapa banyak yang sudah diterima oleh Mister Firli dan berapa yang tinggal lagi maka daripada hal harta yang Mister Firli beri mari kepada anak kita dan sahabat kita Kapitan Uskut berapa banyak anak kita dan sahabat kita Kapitan Uskut terima daripada Mister Firli itu maka sekalian perkara itu hendaklah anak kita beri mari daftarnya maka daripada hal kapal Kapitan Karnigi apabila sampai ke Pulau Pinang hendaklah anak kita suruh Kapitan Karnigi itu mari dengan segeranya ke Terengganu jangan dianya tiada datang sebab Saudagar Nasruddin pun sudah tiada itu maka Insya Allah Taala bagaimana pada zaman saudagar kita kerjakan tiadalah berubah pada barang suatu pekerjaan dan lagi kita pun sangatlah suka akan Kapitan Karnigi itu karena dianya tahu adat bicara Melayu serta budi bahasanya pun baik seperkara lagi daripada hal kapal yang disuruh oleh saudagar beli di Benggala kepada Mister Firli sebahagi anak kita dan sebahagi Mister Firli dan sebahagi saudagar serta diberinya pergi modal kepada Kapitan Karnigi maka apabila sudah dibeli oleh Mister Firli kapal itu melainkan kita bersyarikat dengan anak kita dan dengan Mister Firli bagaimana pada zaman saudagar dan seperti opium Patana yang dipinta oleh saudagar kepada Mister Firli dengan harga tiga ratus tiga puluh lima rial sepeti itu pun kita ambil dan seperti dagangan pun diambil juga bagaimana surat saudagar beri pergi kepada anak kita demikianlah kita kerjakan maka daripada hal pergi berlayar ke sebelah tanah Brunei itu pun kita suruh juga pergi orang baik2 yang kepercayaan barang dua tiga orang pergi bersama2 Kapitan Karnigi dan segala kapal2 orang putih yang hendak mari ke Terengganu hendaklah anak kita suruh mari bagaimana selamanya dan sebagai lagi daripada hal pekerjaan keci yang dibawa Shaikh Muhamad dan Nakhoda Bawa dan Nakhoda Sitam ini melainkan kita serahkan kepada anak kita pada sekalian pekerjaan dan jual belinya melainkan mana ikhtiar anak kita dan seperti dagangan yang dibawa di dalam kici itu jikalau laku dengan segeranya baiklah jikalau tiada laku kesemuanya melainkan anak kita punggahkan ke darat tinggal kepada anak kita maka anak kita muatkan dagangan mana yang patut ke Terengganu beri mari asal dengan segeranya sampai ke Terengganu serta anak kita bicarakan orang putih yang baik beri mari di dalam kici itu barang empat orang dan lagi kita beri surat kepada Raja Kedah minta beras muatannya kici itu maka pekerjaan itu melainkan ikhtiar anak kita jikalau menjadi benar kepada anak kita hendaklah anak kita suruh bawa kici itu ke Kedah jikalau tiada jadi benar kepada anak kita janganlah suruh maka daripada hal Nakhoda Bawa itu barangkali dianya hendak tinggal di Kedah tiada berlayar bersama2 dengan kici itu biarlah ia tinggal sebagai lagi daripada hal segala piutang Saudagar Nasruddin di Pulau Pinang dan di Kedah itu pun kita waki[l]kan kepada anak kita melainkan hendaklah anak kita periksa kesemuanya tentukan beri mari surat maka seperti utangnya Kapitan Cina Ci Ki dua ribu rial kepada saudagar itu maka hendaklah anak kita pinta rial itu kepada Kapitan Cina Ci Ki beri mari maka daripada hal syaudagar Mirangkandu itu hendaklah anak kita periksa kepadanya berapa harta Saudagar Nasruddin kepadanya dan beberapa yang sudah diterima Saudagar Nasruddin dan berapa tinggal lagi kepadanya itu pun hendaklah anak kita periksa tentukan beri mari suratnya seperkara lagi daripada hal dagangan Kapitan Long tinggalkan itu seperti membalau dan belerang tiadalah laku hanya diutang2kan sedikit2 tetapi Insya Allah Taala kita tolong jualkan juga seperkara lagi hendaklah anak kita bicarakan rial beri mari kepada suruhan anak kita itu karena saudagar sudah mati ini tiadalah meninggalkan rial hanyalah dagangan sahaja sebab itulah kita sangatlah jadi kesusahanan seperkara lagi jikalau jadi kemudah mudahan kepada anak kita hendaklah anak kita suruh mari Kapitan Uskut dan Mister Krat supaya boleh kita tentukan barang suatu pekerjaan pada jalan muafakat perniagaan antara kita dengan anak kita seperkara lagi daripada hal Nakhoda Pria Tambi itu hendaklah anak kita suruh ia mari dengan segeranya ke Terengganu barang mana kapal yang hendak mari dahulu hendaklah anak kita tumpangkan dia suruh mari dan barang suatu pekerjaan di sana ditinggalkanlah dahulu suruh dia mari dengan segeranya seperkara lagi dari hal anak cu2 saudagar yang di Kedah itu hendaklah anak kita dengar2kan khabarnya barang suatu hal ehwal kesakitan dan kesukarannya sebagai lagi ada Shaikh tiga beranak di dalam kici kita dia hendak pulang ke Arab maka hendaklah anak kita tolong tumpangkan kepada kapal yang hendak pergi ke sebelah atas angin sana ahwal itulah kita nyatakan kepada anak kita maka daripada hal surat ini kepada anak kita dan kepada sahabat kita Kapitan Uskut itu satu dan lagi ada kita beri pergi surat ke Benggala kepada sahabat kita itu Mister Firli dengan Bahasa Arab maka surat itu hendaklah anak kita lihat baca jikalau sudah patut kepada anak kita hendalah anak kita suruh bawa pergi serta dengan kirimannya itu ke Benggala maka tiadalah suatu cenderamata hanyalah kain besar sepasang akan anak kita dan lagi sehelai kain besar kepada sahabat kita Kapitan Uskut tiadalah sepertinya umpama bunga setangkai jua adanya tamat al-kalam kepada sepuluh hari bulan Jamadil Akhir kepada hari Jumaat sanat 1206
No comments:
Post a Comment