Al-Shams wa al-Qamar
Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit daripada fuad al-zakiat iaitu daripada Yang Dipertuan Besar yang di atas tahta kerajaan negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Khaliq al-alam apalah kiranya kepada pihak kekasih kita dan sahabat kita iaitu Gurnador yang ada istiqam serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah bandar Pulau Pinang barang dilanjutkan Allah umur usianya supaya jadi tempat pernaungan segala dagang miskin dalam bandarnya dan barang ditambah Allah kebesarannya dan kekayaannya serta dianugerah Allah sihat dan afiat selagi ada hayat zamannya wa ba’dah
barang mafhum kiranya sahabat kita maka adalah seorang Inggeris bernama Kapitan Klak datang dari Benggala membawa kapal kecik dua tiang maka dianya membawak surat daripada Raja Benggala kepada kita maka kita sambutlah surat itu dengan istiadat surat raja raja yang besar2 serta beberapa kesukaan dan keredhaan maka tersebut di dalam surat itu suruh tolong akan Kapitan Klak itu maka kita pun tolonglah akan dia pada barang sesuatu hal ahwalnya kesakitan dan kesukarannya maka di dalam itu serta sampai Kapitan Klak ke Terengganu ada beberapa hari maka dianya pinta kepada kita hendak masukkan kapalnya itu ke dalam sungai Terengganu hendak dibakinya kerana kapalnya itu kena karang di Laut Bangka ada rosak tambak kapal itu demikianlah katanya kepada kita maka kita pun benarkanlah suruh masuk ke dalam sungai maka sudah ia masuk ke dalam sungai ada beberapa hari maka dianya mencuri berjual opiun kepada orang Terengganu lain daripada syaudagar kita maka banyaknya opiun yang dijualnya itu enam peti maka diterimanya harga opiun itu lada dan emas maka kemudian kita pun tahulah dianya berjual opiun itu lagi kapalnya di dalam sungai maka orang yang membeli opiun itupun kita suruh bawak orang itu itu tunjukkan kepada Kapitan Klak itu maka sudah ia salah berbuat taksir yang besar dalam negeri kita maka kita hendak hukumkan atasnya maka hal dianya memakai bendera Inggeris serta membawak surat daripada Raja Benggala maka sebab itulah maka kita tiada perbuat sesuatu atasnya kerana kita sangat malu akan Raja dBenggala maka sekarang daripada hal Kapitan Klak itu hendaklah sahabat kita beri pergi surat akan Raja Benggala jangan diberi dianya mari ke Terengganu sekali2 ahwal inilah kita nyatakan kepada sahabat kita tamat al-kalam diperbuat surat pada empat belas hari bulan Safar pada sanah 1206
No comments:
Post a Comment