Al-shams wa al-qamar wa al-nujum
Bahawa ini sahifah al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas iaitu daripada Paduka Seri Sultan Mansur ibn al-marhum al-Sultan Zainal ‘Abidin yang di atas tahta kerajaan negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Khaliq al-‘alam apalah kiranya kepada anak kita dan sahabat kita dan kekasih kita iaitu Gurnador yang ada istiqam serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah jazirah Pulau Pinang yang mempunyai perangai yang lemah lembut dan amat setiawan serta terlalu arif pada hal melakukan berkasih kasihan dan tolong menolong pada sekalian sahabatnya Raja2 dan Orang Besar2 barang ditambah Allah kebesarannya dan kemuliaannya dan dipanjangkan Allah umur usianya selagi ada hayat zamannya wa ba’dah
barang mafhum kiranya anak kita dan sahabat kita maka daripada hal warkah yang mukarramah dan tuhfah yang mazinah yang anak kita beri mari kepada Syeikh Muhamad dan Nakhoda Sitam dan warkah yang anak kita beri mari kepada Kapitan Karnigi maka sekalian itu telah sampailah kepada kita dengan purnanya maka kita pun sambutlah dengan beberapa kesukaan dan keredhaan maka serta dibaca daripada awal satrahnya hingga akhirnya maka fahamlah kita barang yang termazkur dalamnya syahadan maka daripada hal dagangan Mister Firli beri mari yang dibawa Kapitan Karnigi itu sudahlah kita ambil bagaimana surat kita dahulu dan kita bayar bunganya dalam seratus tiga puluh maka kita bayarkan lada kepada Kapitan Karnigi lebih kurang sedikit tengah lima ribu pikul dan timah mana yang bolehnya maka kita hendak cukupkan seperti pinta sahabat kita itu Mister Firli enam ribu pikul itu maka datang Kapitan Karnigi itu sudah akhir musim dan lagi tiada ia membawa rial dan dibawanya dagangan sahaja maka daripada hal dagangan dalam Terengganu pada tahun ini tiadalah laku sekali2 kerana tiada siapa yang mau membelinya maka dagangan tahun dahulu pun kita simpan taruh sahaja maka daripada hal sahabat kita minta timah seribu pikul maka timah tiada keluar dalam Terengganu maka mana yang bolehnya sudah kita beri maka sudahlah selesai ambilan bayaran kita dengan Kapitan Karnigi maka dianya pun berlayar kepada dua haribulan Istimbar sebermula maka pada tahun ini kita buat suatu bicara dengan Kapitan Karnigi supaya jadi berkekalan suruh bersuruhan tiada berputusan selagi ada peredaran matahari dan bulan antara kita dengan anak kita dan dengan sahabat kita Mister Firli maka itulah kita buat suatu perjanjian dengan Kapitan Karnigi maka kita pinta kepada sahabat kita Mister Firli beri mari kapal serta dengan alatnya itu alat perang mau sampai ke Terengganu kepada bulan Mei maka duduk di Terengganu sampai setengah bulan Agust Kapitan Karnigi berlayar ke China maka sebab pun kita minta demikian itu kerana kita dengan Siam ini lagi bergaduhan tiadalah tentu baiknya dan jahatnya maka kita pun sudah beri pergi bunga emas dan bunga perak serta dengan hadiahnya maka belum datang jawabnya maka pada tahun ini datang Siam ke Patani dipukulnya Patani habislah binasa pecah belah dan bunuhnya Orang Besar2 Patani kerana itulah kita takut kalau2 pada musim hadapan ini datang Siam melanggar Terengganu jikalau ada kapal mudah mudahan boleh menolong kita melawan Siam itu sebagai lagi daripada hal muatan kapal itu kita minta beras barang seratus koyan atau dua ratus koyan harganya kepada sekoyan dulapan puluh rial dan opiun patna dan benaras tengah dua ratus peti harganya sepeti dua puluh empat pikul lada dan lagi kita minta bawa rial barang tiga puluh ribu rial maka daripada hal rial itu kita bayar bunganya seratus tiga puluh dan lagi kita pesan kepada Kapitan Karnigi minta belikan barang2 seperti senapang yang baik dan lainnya maka itupun kita bayar bunganya dalam seratus tiga puluh demikianlah sudah Kapitan Karnigi beri perjanjian dengan kita maka kita berjanji dengan Kapitan Karnigi hendak beri lada enam ribu pikul jikalau lebih daripada itu hartanya kepada kita melainkan kita bayar dengan emas dalam itu jikalau boleh timah kita bayar timah maka sekalian perjanjian itu sudah kita beri pergi surat dengan bahasa arab kepada sahabat kita Mister Firli dibawa Kapitan Karnigi dan sebagai pula daripada hal anak kita beri mari dagangan dalam kici kita serta dengan daftarnya kepada Syeikh Muhamad dan Nakhoda Sitam itu telah sampailah kepada kita maka daripada hal embalau itu melainkan apa dengan ihtimal anak kita yang jadi kerugian atas kita demikian itu jikalau dengan harga itu tiadalah terambil oleh kita embalau itu sebermula daripada hal anak kita beri mari surat serta dengan daftar kapal Kernatuk itu telah sampailah kepada kita maka serta kita baca fahamlah kita barang yang termazkur dalamnya maka daripada hal lada Syaudagar Nasruddin muat dalam kapal Kapitan Long disuruhnya bawa pergi ke China tiga ribu sembilan ratus pikul dan rotan dan kapas maka sekalian itu tiadalah tentu fasalnya dalam daftar itu maka kita dengar khabar kata Kapitan Lid tahun dahulu harga lada di China dua puluh dua rial sepikul sefasal lagi daripada hal anak kita sebutkan belanja atas kapal itu dan labanya perniagaan dari China ke Pulau Pinang dan ke Aceh dan ke Benggala dan ke Madras maka sekalian laba perniagaan tiadalah tersebut dalam daftar itu kerana pekerjaan bersyarikat maka sekarang hendaklah anak kita tentukan daripada hal fasal belanjanya dan fasal labanya itu supaya boleh kita tahu seperkara lagi tersebut dalam daftar itu anak kita beri mari rial kepada Kapitan Karnigi selaksa rial maka Kapitan Karnigi tiadalah ia membayar rial itu dan disebutnya pun tiada segala2 maka kita pun tiada tahun kemudian anak kita suruh terima pula kepada Kapitan Karnigi dulapan ribu enam ratus empat tiga rial maka tatkala sampai surat itu Kapitan Karnigi sudah berlayar maka Kapitan Fakar membayar kepada kita dulapan ribu enam ratus empat puluh tiga rial sudahlah kita terima kepada Kapitan Fakar dan seperkara lagi daripada hal dagangan embalau belerang meriam dan peluru yang dibawa Kapitan Long tahun dahulu maka kita lihat dalam daftar anak kita beri mari ini serta dengan daftar Syaudagar Nasruddin banyaklah bersalahannya maka sekalian itu hendaklah anak kita tentukan fasalnya dan seperkara lagi adalah Syaudagar Nasruddin beri pergi rial kepada Kapitan Karnigi mata rial lima belas ribu rial dan opiun dua puluh lima peti dan tembakau Cina empat puluh keranjang disuruhnya berikan kepada anak kita tahun dahulu akan jadi penambah modal kerana Syaudagar Nasruddin mengajak anak kita dan sahabat kita itu Mister Firli membeli kapal bersyarikat sorang sebahagi maka harta itupun sampai kepada anak kita atau tiada pun tiadalah kita tahu kerana Kapitan Karnigi pun tiada ia menyambut sekali2 maka dalam daftar anak kita beri mari ini pun tiadalah tersebut seperkara lagi daripada hal perkiraan Mister Firli dengan Syaudagar Nasruddin beberapa banyaknya harta kepada Mister Firli dan beberapa banyak yang diterimanya kepada Kapitan Camnan dan beberapa banyak yang diberinya mari kepada sahabat kita Kapitan Uskut maka sekalian itu hendaklah anak kita tolong tentukan segala perkiraan itu dengan kerana Allah maka dahulu Allah wa ba’d rasulnya telah haraplah kita akan penolong anak kita pada sekalian perkaranya dan seperkara lagi anak kita sebutkan daripada hal kapal Kernatuk maka anak kita muafakat dengan sahabat kita Kapitan Uskut hendak bayar harga kapal itu lima ribu rial maka pekerjaan itu melainkan kita minta maaf banyak2 kepada anak kita dan sahabat kita kerana banyaklah kerugian atas kita dan sebagai lagi daripada hal pekakas bilayit yang anak kita beri mari itu kepada Kapitan Jabsin telah sampailah kepada kita maka daripada hal harganya terlalulah mahal maka dalam itupun kita ambil juga mana yang kita suka maka yang kita ambil itu jam satu dan cermin dua pasang dan baldu hijau dan ungu dua kayu dan kain pera dua kayu dan renda satu ikat jadi jumlah harganya seribu lima ratus sembilan puluh dua rial dan seperti gelas2 dan giras dan baldu merah dengan putih itu tiadalah kita ambil ahwal itulah kita nyatakan kepada sahabat dan daripada kita pun insya Allah Ta’ala jikalau tiada sesuatu aradnya melainkan kita menyuruh juga ke Pulau Pinang mengadap anak kita pada bulan Rabiul Awal ini tamat al-kalam diperbuat surat pada tiga haribulan Safar pada malam Khamis pada sanah 1207
No comments:
Post a Comment