Al-Mustahaqqah
Surat tulus ikhlas berkasih kasihan muafakat yang tiada berkesudahan daripada Tunku Raden Muhamad sampai kepada sahabat beta Gurnador Pulau Pinang yang akil bijaksana pada perintah bersahabat telah masyhur sampai ke mana mana dari bawah angin dan ke atas angin kedengaran bahana
kemudian dari itu akan surat kertas dua pucuk ini telah sampailah pada beta tersebut di dalam kedua pucuk surat sahabat beta fahamlah beta segala perkaranya itu maka tatkala sampai surat sahabat beta mulanya beta sudah maklumkan pada ke bawah Duli Yang Dipertuan maka keluar titah ke atas jemala beta suruh bicarakan dengan segala rakyat disuruh tumbuk beras himpun sudah ditentukan harganya pada sekoyan lima puluh rial diberi dengan harganya maka sudah beta beri surat pergi pada sahabat beta dinyatakan harga beras itu pada sekoyan lima puluh rial maka surat sahabat beta pun sudah pada beta kata suruh beta himpun beras beri banyak hendak beri perahu mari ambil beras itu surat sahabat beta inilah beta turut disuruh terima ambil beras ini himpun taruh berapa susah beta terima beras itu dengan kajang samir dan setengah karung berapa banyak dibelanja tiada terlindung pada sahabat beta beras itu banyak susah lagi putus tutur kata pada segala rakyat yang miskin katanya sudah harap akan beta ini sudah terima beras hendak dikurang pula harganya jadi kemaluanlah beta ini diteriakkan oleh segala rakyat ini terlebih lagi pendapat sahabat beta pada pihak memberi kebajikan hal beta ini maka akan perintah lembu dan kerbau ini sudah beta maklumkan pada ke bawah Duli Yang Dipertuan hendak dibawa ikut jalan darat itu tiada dibenarkan sudah disuruh canang tiada diberi orang bawa lembu kerbau berjalan darat kerana banyak sangat teriak segala rakyat lembu kerbau dicuri orang kata hendak bawa jual ke Pulau Pinang dibawanya pergi jalan ke Patani dan Perak dan sebelah Siam banyak sudah timbul pencuri ditangkap hukumkan bubuh rantai pasung maka sahabat beta suruhlah bawa perahu mari ambil lembu kerbau ini bawa ikut jalan laut turut yang sudah diadatkan itu jangan binasa segala rakyat isi negeri ini maka akan perahu kecik2 muat beras itu tiada beta tegah larang disuruh bawa pergi ke Pulau Pinang itu beri jadi kemudahan sahabat beta itu maka pinta sahabat beta suruhlah terima beras ini pada sekoyan lima puluh rial jangan beta beroleh rugi belanja dan malu pada segala rakyat isi negeri hari kehadapan ini pergi surat hari arba’ sebelas hari bulan Zulkaedah syahadan adalah beta suruh Saudagar Mirangkandu pergi pada sahabat beta pinta sahabat beta serahkan rial harga beras itu pada saudagar itu bawa mari kepada beta sampaikan dengan segeranya tamat al-kalam
No comments:
Post a Comment