Qawluhu al-Haqq wa Kalamuhu al-Sidq
Bahawa ini warkat al-ikhlas wa tuhfat al-ajnas yang terbit daripada fuad al-zakiah iaitu daripada Yang Dipertuan Besar yang di atas tahta kerajaan dalam negeri Terengganu Darul Salam barang diwasilkan Tuhan Rab al-Anam apalah kiranya kepada pihak sahabat kita dan kekasih kita Gurnador yang ada istiqam dengan istirahat serta memegang perintah dan tadbir dalam daerah jazirah Pulau Pinang barang bertambah2 kebesarannya dan dipanjangkan Allah umur usianya supaya jadi tempat tolong menolong segala sahabatnya Orang Besar2 dan Raja2 maka masyhurlah wartanya pada sekalian negeri di bawah angin ini pada hal mempunyai perangai yang lemah lembut dan terlalu arif dan bijaksana pada hal melakukan berkasih kasihan tolong menolong pada sekalian sahabat dan taulannya barang dikekalkan Allah kerajaannya selagi ada hayat zamannya wa ba’dahu
barang mafhum kiranya sahabat kita maka adalah hal Syaudagar Nasruddin ada ia mengambil anak Sayid ‘Alawi cucu Dato’ Marang yang dari Patani itu dipeliharanya buatnya anak angkat serta dibuatkannya rumah hampir rumahnya itu dalam kampung dia maka adalah antara sebulan lamanya duduk anak Sayid ‘Alawi bersama2 Syaudagar Nasruddin maka datang Sayid Abdullah anak Sayid ‘Idrus peranakan Siak dari Palembang maka dibicarakan oleh Syaudagar Nasruddin akan Sayid Sayid Abdullah itu dengan anak Sayid ‘Alawi yang dipeliharanya itu maka dinikahkannya maka duduklah Sayid Abdullah dengan anak Sayid ‘Alawi itu ada kira2 sebulan lamanya maka dengan takdir Allah Taala mengamuk Sayid Abdullah membunuh isterinya serta dibunuhnya dua orang perempuan budak2 di atas rumah Syaudagar itu maka lalu ditikamnya akan Syaudagar Nasruddin maka Syaudagar Nasruddin pun dengan takdir Allah matilah kepada dua likur haribulan Rabiul Akhir pada hari Ahad waktu asar maka daripada hal Sayid Abdullah itu serta dengan temannya dua orang itu kita bunuh pada ketika itu juga sudahlah mati ketiganya maka daripada hal kematian Syaudagar Nasruddin itu sangatlah jadi susah hati kita kerana sekalian pekerjaan dahulu Allah wa ba’da RasulNya harap kita akan dia maka sekarang sudahlah takdir Allah berlaku atas hambanya apa boleh buat maka daripada hal sahabat kita janganlah diubahkan pada sekalian pekerjaan bagaimana pada zaman Syaudagar Nasruddin demikianlah sahabat kita kerjakan tolong menolong pada sekalian perkaranya atas kita kerana Pulau Pinang dan Terengganu ini jadi satu hamparan sebermula daripada hal kici kita apabila terbuka kuala kita hendak menyuruh mendapatkan sahabat kita melainkan kita harapkan penolong sahabat kita pada sekalian perkaranya sebagai lagi daripada hal pekerjaan perniagaan sahabat kita bersyarikat dengan Syaudagar Nasruddin itupun hendaklah sahabat kita menyuruh ke Terengganu selesaikan segala perkiraan itu pada musim ini seperkara lagi kita menyatakan kepada sahabat kita daripada hal pekerjaan Siam ini maka pada tahun ini kita antar pergi bunga emas bunga perak bagaimana istiadat yang selamanya2 maka sampai ke Legor Raja Legor tiadalah mau terima bunga emas itu membawa masuk kepada Raja Siam maka dikehendakinya yang tiada patut atas kita maka tiadalah kuasa kita mengadakannya seperti kehendaknya maka pada tahun ini entah bagaimana kejadiannya perbuatan Siam itu atas negeri Terengganu melainkan sahabat kita hendaklah menengar2 khabar negeri Terengganu ini jikalau ada barang sesuatu kesakitan kesukaran kita melainkan harap penolong sahabat kita dahulu Allah wa ba’da RasulNya maka daripada hal orang yang kita suruh membawa surat ini kepada sahabat kita namanya Musih dan Kurus dan Yusuf maka orang itu apabila sampai ke Pulau Pinang hendaklah sahabat kita tolong pebela akan dia jikalau dianya kekurangan belanjanya melainkan sahabat kita beri dahulu akan dia belanjanya dan lagi hendaklah sahabat kita beri akan dia modal barang empat ratus rial Insya Allah Ta’ala kita bayar rial itu kepada sahabat kita maka kita hendak beri modal dari Terengganu kerana pekerjaan jalan darat sebab itulah kita tiada beri dan lagi hendaklah sahabat kita tolong bicarakan orang yang kita suruh ini tumpangkan dalam kapal yang hendak mari ke Terengganu dengan segeranya maka daripada hal Nakhoda Paria Tambi jikalau dianya ada Kedah lagi hendaklah sahabat kita tolong bicarakan suruh dianya mari ke Terengganu dengan segeranya serta sampai surat ini hubaya2 jangan tiada hendaklah sahabat kita suruh mari dengan segeranya kerana kita hendak pulangkan pekerjaan syaudagar itu kepadanya ahwal itulah kita nyatakan tamat diperbuat surat pada dua belas haribulan Jamadil Awal pada sanah 1206
No comments:
Post a Comment