Monday, June 15, 2020

Surat Raja Muda Selangor kepada Francis Light (MS 40320/11, f.47) berkaitan hutang jualan opium (Rabu, 17 Syawal 1201 / 1 Ogos 1787)

Al-Shams wa al-qamar

Warqat al-ikhlas serta suci putih hati iaitu daripada khadrat  Raja Muda yang memerintahkan di dalam daerah bandar negeri Selangor Darul Khusus barang disampaikan Tuhan semesta alam apalah kiranya kepada sahabat kita Gobernor  yang memerintahkan di dalam daerah bandar negeri kota Pulau Pinang ialah yang amat setiawan kasih berkasihan antara sahabat bersahabat serta dengan mengasihi segala dagang senteri maka masyhurlah warta ihsannya kepada tiap2 negeri yang lain wa ba’dahu 

kemudian daripada itu maka adalah menyuruhkan Nakhoda Abdul Khatib dengan Abdul Halif  itu mendapatkan sahabat kita serta mengantarkan hutang kita harga opiun  yang dibawa oleh Nakhoda Amat opiun  yang tiga peti jumlah harganya sembilan ratus enam puluh ringgit telah sampailah kepada kita opiun  itu serta dengan hadiah daripada sahabat kita senapang dua puluh itupun telah sampailah kepada kita maka kita terimalah dengan beberapa kesukaan dan keredhaan sebagai lagi akan hal seperti rial sahabat kita yang sembilan ratus enam puluh itu hanya ada sebahagi kita kirimkan kepada tangan nakhoda itu melainkan sahabat kita terimalah kepada nakhoda itu dan yang tinggal lagi kepada kita itu insya Allah di dalam bulan Zulkaedah ini kita suruhlah hantarkan kepada sahabat kita sebagai lagi kita minta bicarakan kepada sahabat kita duit barang lima ratus ringgit akan seperti harga duit itu kemudianlah kita suruh hantarkan bersama2 dengan harga opiun  itu melainkan jikalau sudah ada duit itu sahabat kita serahkanlah kepada tangan Nakhoda Abdul Khatib dengan Abdul Halif itu ialah wakil kita akan menerimanya duit itu sebagai lagi kita minta bicarakan senapang panjang yang bercakuk barang lima pasang sebagai lagi ada timah sedikit dibawanya jikalau boleh kita minta kepada sahabat kita harga timah itu di dalam satu bahara empat puluh delapan ringgit sebagai lagi kita pinta kepada sahabat kita ragum barang satu kemudian daripada itu suatupun tiada tanda hayat hanya lilin ada suatu buku tersurat kepada tujuh belas hari bulan Syawal hari Arba’ tamat al-kalam bi al-khair wa al-salam tarikh sanah 1201

No comments:

Post a Comment