Friday, June 5, 2020

Surat Tengku Panglima Orang Kaya Kita Seri Paduka Raja Pesangan kepada Francis Light (MS 40320/11, f.5) berkaitan perdagangan lada dan pinang (Ahad 10 Zulhijah 1202 / 14 September 1788)

Ya Qadiya al-Hajat

Kalamuhu al-Siddiq

Ini surat serta tulus dan ikhlas dengan suci putih hati iaitu daripada Tengku  Panglima Kita Orang Kaya Seri Paduka Raja yang memerintahkan nenggeri  Pesangan yang di bawah naungan Duli Sultan Alauddin Muhamad Shah yang di dalam bandar nenggeri  Aceh Darul Salam barang disampaikan tuhan Allah al-‘alamin apalah kiranya kepada sahabat beta Gurnador Kapitan Lak  Dewa Raja yang mempunyai takhta kebesaran dan kekayaan dalam bandar nenggeri  Pulau Pinang Darul Aman ialah yang amat arif dan bijaksana pada pihak diberlakukan  berkasih2han dengan sekalian sahabat handai taulannya telah termashur termasyhurlah nama wartanya pada tiap2 segala nenggeri  yang di atas angin dan yang di bawah angin maka beta pohonkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala daripada panjang umur zamannya amin Allahumma amin wa ba’d 

ada pun kemudian daripada itu barang takrif apalah kiranya sahabat beta akan hal ada beta menyuruh syaudara  beta Nakhoda Lebai Wahid membawak lima buah perahu serta ada dagangan lada dan pinang sedikit kepada sahabat beta sahabat tolong akan syaudara beta Nakhoda Lebai Wahid daripada tiap2 barang hal ahwalnya daripada sakit atau kesukaran haraplah beta kepada sahabat beta maulah hendak tolong sahabat akan syaudara beta menyuruh pulang nakhoda itu serta dengan lima buah perahu itu dengan segeranya demikianlah hal beta kepada sahabat kemudian lagi ada beta hendak berkirimkan kuda palang  yang baik tiada tempat bermuatkan dia jikalau ada sahabat beta hendakkan akan kuda dan lada dan pinang sahabat menyuruhlah membawak tempat sama2 syaudara beta Nakhoda Lebai Wahid ke Pesangan jikalau ada lagi sahabat seperti isti’adah  mutaqaddimat dan ittisal  daripada tolong menolong daripada kasih dan sayang sahabat akan beta serta ada harap dengan percahaya sahabat atas beta akan beta sahabat menyuruhlah datang ke Pesangan demikianlah khabar beta kepada sahabat syahadan daripada itu suatu pun tiada dalil al-hayat akan hadiah hanya ada seluar suti  Pesangan sekayu dan kain Palang  Rusa sehelai dan kambing dua ekor akan tanda tulus dan ikhlas jua kerana sebab sah singgah seperti yang tersebut dalam kertas ini maka adalah cap tanda beta di atas kertas ini tamat al-kalam surat ini kepada sepuluh hari bulan Zulhijah yaum al-Ahad waktu duha kepada hari raya Haji wakatibuhu Nakhoda Muhamad Tahir Selangor sanah 1000 2 00 2

No comments:

Post a Comment